Pelajar Universiti Cuba Terjun Bangunan Akibat Stres Keputusan Pengajian | SHAH ALAM – Tekanan akibat gagal mencapai sasaran dalam pengajian dipercayai punca seorang penuntut lelaki cuba terjun dari bangunan sebuah universiti di sekitar bandar raya ini, hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 1.40 petang itu melibatkan lelaki tempatan berusia 20 tahun yang mencetuskan gempar di lokasi tersebut.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang wanita mendakwa berlaku kejadian cubaan terjun di bangunan itu.
Katanya, pemeriksaan lanjut pihaknya mendapati mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan orang awam.
“Siasatan awal mendapati mangsa yang juga pelajar dipercayai mengalami tekanan kerana gagal mencapai sasaran ditetapkan bagi pencapaian dirinya dalam pengajian.
“Mangsa dikatakan mengalami masalah psikiatri sejak tiga tahun lalu dan masih menerima rawatan di Subang Jaya sehingga kini,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Tambah Mohd. Iqbal, kes diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut.
Sumber: Kosmo
Baca Juga: Buat Terjunan Di Lata Berangin Setinggi 3 Meter, Buruh M4ut Kepala Terhantuk Batu | KOTA BHARU – Keseronokan seorang buruh yang membuat terjunan setinggi tiga meter semasa mandi Lata Berangin di Kuala Krai dekat sini semalam berakhir tragedi apabila ditemui maut selepas kepalanya terhantuk pada batu sungai.
Mangsa, Muhammad Syarzmer Mohd. Rodi, 32, disedari meninggal dunia di lokasi kejadian selepas pengunjung melihat darah mengalir pada permukaan air selepas dia terjun ke dalam kawasan lata tersebut.
Kakak ipar mangsa, Mazlinda Leo Azaman, 33, berkata, dia menyedari kejadian selepas melihat beberapa pengunjung berada dalam keadaan kelam kabut selepas melihat darah.
Menurutnya, dia ketika itu bersama ahli keluarganya yang lain sedang mandi-manda di lata terbabit berada pada jarak dua meter dari lokasi mangsa jatuh.
“Orang ramai yang berada di situ turut memberi bantuan mencari dan menyelamat Muhammad Syarzmer yang dikatakan dihanyutkan arus di celah batu.
“Ramai yang mengatakan bahawa dia terjun setinggi tiga meter ke dalam air. Selepas 25 minit, Muhammad Syarzmer ditemui dengan bantuan orang ramai dengan bahagian kepalanya berlumuran darah selepas dipercayai terhentak pada batu,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah adiknya di Kampung Sokor, Kok Lanas, di sini hari ini.
Mazlinda memberitahu, dia sempat memberikan bantuan pernafasan kepada mangsa dengan bantuan dua doktor yang kebetulan berada di lokasi kejadian, namun Muhammad Syarzmer gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurutnya, mayat adik iparnya dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai untuk dibedah siasat.
Sementara itu, isteri mangsa, Shaidatul Hasmira ketika ditemui berkata, dia tidak menyangka ajakkan suami untuk berkelah di Lata Berangin berakhir dengan tragedi.
Menurutnya, arwah suaminya sempat menyambut Hari Raya Aidilfitri di rumah baharu yang siap dibina pada Mac lalu.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu semalam.
Katanya, mayat lelaki itu dihantar ke HSIP dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sumber: Kosmo