Pelakon lelaki yang ditahan dan direman tiga hari kerana disyaki memukul seorang penduduk di sebuah kondominium di Sentul di sini, Khamis lalu, dibebaskan dengan jaminan polis, hari ini.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata suspek dibebaskan tengah hari tadi selepas polis selesai menjalankan siasatan terhadapnya.
Jelasnya, suspek dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira jam 12 tengah hari tadi selepas siasatan dan proses merekodkan keterangan daripadanya selesai, hari ini.
Katanya lagi, kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya dalam masa terdekat untuk arahan lanjut.
Katanya, siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan 323 Kanun Keseksaan iaitu ugutan dan mendatangkan kecederaan.
Kelmarin, pelakon lelaki berusia pertengahan 30-an itu direman tiga hari selepas disyaki menumbuk dan menendang seorang penghuni kondominium di Segambut, di sini, malam Khamis lalu.
Pelakon yang mendiami kondominium sama dilaporkan menumbuk dan menendang mangsa selepas rakan mangsa yang hendak menghantar minyak masak dilarang memasuki kawasan kondominium berkenaan oleh pengawal keselamatan di situ.
Kejadian dipercayai berlaku selepas berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dengan pengawal keselamatan sebelum pelakon terbabit datang secara tiba-tiba dan memukul mangsa.
Sumber: Berita Harian