Pemandu Ambulans Tak Sangka Anaknya Yg Meninggal Dunia Dlm Kemalangan. | SETIU: Luluh hati seorang pemandu ambulans yang bergegas ke lokasi kemalangan, apabila mendapati mangsa yang mahu diambilnya adalah anak sendiri yang terbujur kaku di atas jalan raya selepas terbabit nahas di Kilometer 38, Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu, petang semalam.

Mohd Taqwa Ismail, 49, yang bertugas sebagai pemandu ambulans di Klinik Kesihatan Sungai Tong, sama sekali tidak menyangka mangsa kemalangan itu adalah anaknya sendiri.

Dalam kejadian itu, Muhammad Aiman Mohd Taqwa, 21, yang juga kakitangan Unit Landskap Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu terbabit dalam nahas selepas motosikal ditunggangnya bertembung sebuah lori di lokasi kejadian, kira-kira jam 4.30 petang.

Taqwa berkata, dia mendapat panggilan meminta untuk mengambil mangsa kemalangan di lokasi kejadian untuk dihantar ke Hospital Setiu.

“Namun apabila sampai di situ, saya seakan-akan mengenali motosikal itu dan apabila melihat nombor pendaftarannya, baru sedar rupanya anak sendiri menjadi mangsa kemalangan.

“Sejak saya bertugas menjadi pemandu ambulans kira-kira 21 tahun lalu, ini adalah pengalaman pertama terpaksa berdepan situasi membabitkan ahli keluarga sendiri.

“Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan sebak dan sedih saya ketika itu walaupun sebelum ini pernah mengambil mangsa kemalangan lagi serius tapi tidak terlalu beremosi seperti ini,” katanya di sini, hari ini.

Dia berkata, Aiman baru sahaja lima bulan bekerja di TTI dan kerap berulang-alik dari tempat kerja dan pulang ke rumah di Sungai Tong.

“Selalunya Aiman bawa bekal ke tempat kerja tetapi semalam dia berjanji mahu pulang untuk makan petang bersama saya di rumah.

“Kebetulan malam sebelum kejadian, saya sempat memasak ikan lampam goreng yang dibawa balik dari Tasik Kenyir dan dia sempat makan serta meminta lebihan ikan itu disimpan untuk dimakan keesokan harinya,” katanya.

Katanya, Aiman anak kedua daripada lima beradik hasil perkongsian hidup bersama isterinya, Zulnilawati Idris, 47, merupakan anak yang pendiam tetapi sangat disenangi ramai kerana pandai menyesuaikan diri.

“Arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Belara kira-kira jam 11.30 pagi tadi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan muka.

Katanya, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Sungai Tong di sini dari Kuala Nerus.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, Muhammad Aiman yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dikatakan cuba memotong sebuah kenderaan di hadapannya tetapi gagal.

“Lalu bertembung dengan sebuah lori yang datang dari arah bertentangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Afandi berkata, pemandu lori berusia 30 tahun yang dalam perjalanan ke Hulu Terengganu dari Kok Lanas, Kelantan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat Muhammad Aiman dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu di sini untuk dibedah siasat. Kes berkenaan disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sumber : BH

 

 

ARTIKEL MENARIK

Nabil Ahmad Ditegur Jangan Melampau

Tindakan Nabil Ahmad yang mengajuk cara penyanyi dan juga juri jemputan daripada Indonesia di Gegar Vaganza minggu ke-8, Raisa, yang menggunakan bahasa Inggeris ketika memberi komen undang rasa tidak puas hati netizen.

Raisa yang hadir memenuhi kerusi juri jemputan tampil menggunakan bahasa Inggeris untuk memberi komen kepada peserta ketika itu iaitu Hazrul Nizam yang menyanyikan lagu ‘Widuri’.

Susulan gurauan Nabil yang didakwa melampau itu, rata-rata netizen meminta Nabil untuk lebih berhati-hati dan tidak mengajuk cara seseorang individu memberikan komen.

“Raisa kelihatan tidak selesa apabila Nabil mengajuknya bercakap dalam bahasa Inggeris. Nabil tidak patut melebihi batas, perlu berhati-hati,” komen seorang netizen.

“Nabil kena pandai tengok suasana dan ‘tone down’ apabila buat lawak sebab boleh nampak Raisa tidak faham dan saya rasa dia tidak selesa. Macam melampau sangat, siap bahan bagai,” komen seorang netizen lagi.

“Bahasa itu lingua franca, tidak kisah menggunakan bahasa apa asalkan mudah difahami, Nabil sangat perlu berhati-hati, jangan melampau,” ciap seorang netizen.

Sementara itu, terdapat segelintir netizen yang berpendapat, mentaliti kita harus berada di kelas pertama dan menerima sesuatu yang bukan kebiasaan kerana ianya bukanlah suatu kesalahan untuk memberi komen dalam bahasa Inggeris.

“Bila Nabil ajuk Raisa cakap, baru aku sedar benda ini berlaku dekat mana-mana sahaja, Dari budak kecil di sekolah, dekat universiti, dekat tempat kerja waima dalam kalangan keluarga dan keluarga, kalau ada yang cakap English, mesti ada yang ajuk macam benda itu suatu kesalahan,” komen netizen yang lainnya.

Share.

Leave A Reply