Pemandu Langgar Lari Tular Dalam Media Sosial Kini Diburu | GEORGETOWN: Polis sedang mengesan pemandu dan pemilik kenderaan yang tular dalam media sosial membabitkan sebuah kenderaan melanggar kenderaan dan melarikan diri sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain di Bukit Jambul, semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komissioner Soffian Santong berkata, hasil semakan polis mendapati kejadian tersebut berlaku di Persiaran Bukit Jambul 5, dekat sini kira-kira pukul 8.48 pagi semalam melibatkan dua buah kenderaan.

Katanya, ekoran insiden itu, satu laporan polis dibuat salah seorang individu terlibat iaitu pemilik kenderaan yang dilanggar jenis Perodua Alza di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, semalam.

“Kemalangan berpunca apabila kenderaan di hadapan berhenti di simpang untuk sedia membelok,  namun pemandu kereta Toyota Corolla tersebut tidak mengikut giliran dan memotong ke kanan (garisan berkembar dan melawan arus),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, pemandu Toyota Corolla mencelah masuk semula ke laluan asal (kiri) apabila terdapat kenderaan lain datang dari arah bertentangan.

“Tindakan pemandu Toyota Corolla tersebut menyebabkan dia melanggar bahagian belakang kereta Perodua Alza yang dipandu seorang lelaki tempatan.

“Pemandu kereta Perodua Alza telah turun dan cuba berbincang, namun pemandu kereta Toyota Corolla berkenaan bukan sahaja enggan memberi kerjasama, malah terus melarikan diri,” katanya.

Tambahnya, semakan lanjut mendapati kenderaan Perodua Alza berkenaan mengalami kerosakan kecil di bahagian belakang sebelah kanan manakala pemandunya tidak mengalami kecederaan.

“Setakat ini, pemandu atau pemilik berdaftar kenderaan Toyota Corolla berkenaan belum tampil membuat laporan polis.

“Usaha mengesan pemandu dan pemilik kenderaan sedang dijalankan, kes disiasat di bawah Kaedah-Kaedah Lalulintas 1959,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Sumber: Utusan

Share.

Leave A Reply