Pemandu Lori Cuai Akibat Bayi [email protected]. Ini Tindakkan Menteri Pengangkutan. | SHAH ALAM – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) supaya mengambil tindakan segera berhubung kecuaian pemandu lori yang menjadi punca kepada insiden kemalangan di Gerik, Perak.
Ujar beliau, permit operasi syarikat lori berkenaan turut digantung sementara bagi audit ke atas semua lori mereka.
“Saya tidak akan berkompromi dengan pemandu dan syarikat yang membahayakan orang ramai di atas jalan raya.
“Saya berasa amat simpati dengan keluarga mangsa kemalangan ini yang kehilangan bayi sulung mereka. Salam takziah kepada keluarga.
“Saya telah mengarahkan JPJ dan APAD untuk mengambil tindakan segera terhadap pemandu dan syarikat tersebut,” katanya dalam di Facebooknya pada Selasa.
Pada Isnin, tular sebuah video insiden kemalangan yang berpunca akibat tindakan cuai pemandu lori.
Difahamkan, beberapa kenderaan lain turut terlibat dalam kemalangan itu dengan muatan lori tersebut terjatuh ke atas jalan raya.
Menurut laporan media, insiden berkenaan turut meragut nyawa seorang bayi dalam kandungan yang berusia 34 minggu, manakala mangsa wanita pula cedera parah.
BERITA BERKENAAN
Kerana Pemandu Lori Ini Bayi Kami Meninggal Dunia. | PETALING JAYA – “Kerana kejadian ini kamu telah memusnahkan keluarga kami, setiap hari saya melihat isteri menangis dan luka pada badan nya serta gambar arwah bayi kami. Saya teringin sangat membunuh pemandu tersebut.”
Demikian luahan seorang lelaki apabila berang dengan seorang pemandu lori yang dianggap menjadi punca kepada kematian bayi sulung mereka selain keadaan isterinya parah akibat kemalangan di Gerik baru-baru ini.
Kemalangan yang berlaku itu turut melibatkan beberapa kenderaan lain disebabkan muatan yang dibawa lori berkenaan terjatuh ke atas jalan raya secara tiba-tiba.
“Kejadian ini sebenarnya boleh dielakkan, tetapi sebab kecuaian pemandu dan pihak syarikat terlibat telah menyebabkan kejadian ini berlaku.
“Saya tidak akan memaafkan kamu semua. Setelah kejadian berlaku sehingga setakat ini, tiada sesiapa pun dari pihak syarikat kamu dan pihak syarikat pengangkutan telefon untuk meminta maaf atau tanya khabar,” luahnya menerusi hantaran di Facebook.
Tambah bapa itu, dia berharap agar pihak syarikat pengendali segera tampil menjelaskan segala persoalan dan tanda tanya yang sedang bermain dalam fikirannya ketika ini kerana masih terkejut dengan insiden malang berkenaan.
“Saya harap pihak syarikat logistik kamu boleh memberikan penjelasan tentang kenapa menggunakan jenis ‘truck’ ini untuk membawa barangan muatan ini dan ia telah melebihi paras ketinggian yang selamat.
“Disebabkan kemalangan ini, rahim isteri saya pecah, tulang belakangnya terbelah, tiga tulang rusuk patah, otak dan hatinya cedera, semua ini boleh membawa banyak kelanjutan. Ini anak pertama kami, kenapa kamu semua begitu kejam rampas dia dari kami?,” soalnya.
Menurutnya lagi, lori tersebut dipandu melebihi had laju sepatutnya selain membawa muatan secara bertindih dan melebihi paras pintu pagar lori.
Lebih menambah kemarahannya, pemandu lori tersebut telah bertindak melarikan diri dari tempat kejadian namun, berjaya ditahan pihak polis semasa operasi sekatan jalan raya sekitar Jeli, Kelantan.
“Saya harap pemandu lori tersebut dapat balasan dan tindakan undang-undang yang sewajarnya,” kongsinya.
Sumber : Kosmo