Pemandu Lori Langgar Lelaki Siam Hingga Mati Diburu Polis | Tumpat – Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat sedang memburu seorang pemandu lori yang dipercayai terlibat dalam kes langgar lari sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki Siam di simpang tiga Kebakat, Chabang Empat Tok Mek Ngah di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Azmir Damiri berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6.40 petang itu, mangsa Chanon Eh Pot, 20, yang menunggang sebuah motosikal maut selepas dipercayai dirempuh lori suspek.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 11.15 malam pada hari yang sama semasa menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.

“Mangsa dipercayai dirempuh sebuah lori jenis Isuzu, namun polis masih belum memperoleh nombor pendaftaran kenderaan itu.

“Sehingga kini, tiada individu yang tampil memberi maklumat berhubung kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Azmir, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu dinasihatkan untuk menghubungi pegawai penyiasat IPD Tumpat di talian 09-725 7222.

Sumber : Kosmo

Share.

Leave A Reply