Pemandu Lori Tangki LPG Maut Dalam Nahas Babit Lima Lori

| June 23, 2021 | 0 Comments

Pemandu Lori Tangki LPG Maut Dalam Nahas Babit Lima Lori | Seorang pemandu lori tangki gas petroleum cecair (LPG) maut manakala tiga yang lain mengalami kecederaan dalam satu kemalangan melibatkan lima buah lori yang berlanggar sesama sendiri di Kilometer 288.7 Lebuhraya Utara Selatan arah Utara berhampiran Simpang Pulai, Ipoh, malam tadi.

Pemandu Lori Tangki LPG Maut Dalam Nahas Babit Lima Lori

Dalam kejadian sekitar jam 1o malam itu, mangsa Ahmad American Ahmad Danial,42, yang mengalami kecederaan parah di kepala dan tersepit meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketika kejadian mangsa yang beralamat dari Taman Pasir Puteh Selatan, Ipoh memandu lori tangkinya secara sendirian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintenden Azizan Hassan berkata, siasatan awal mendapati, kenderaan yang dipandu mangsa telah hilang kawalan dan melanggar belakang sebuah lori dari arah sama.

Pelanggaran terbabit telah menyebabkan lori itu menggelongsor dan melanggar tiga lagi lori yang berada di hadapan.

Katanya, mangsa telah mengalami kecederaan dan tersepit dalam kenderaan sebelum meninggal dunia di lokasi kemalangan.

Menurutnya, kemalangan terbabit turut mengakibatkan dua lagi pemandu lori masing-masing berusia 34 dan 47 tahun mengalami kecederaan pada kaki dan sakit dada manakala kelindan berusia 27 tahun cedera di tangan.

Sementara, dua lagi pemandu lori yang terlibat dalam nahas itu berusia 41 dan 34 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat mangsa yang maut telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) IPoh untuk proses bedah siasat dan mereka yang cedera turut dihantar ke hopital berkenaan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Tambahnya, siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Operasi mengeluarkan mangsa dilakukan oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai sebaik sahaja menerima panggilan kemalangan pada jam 10.01 malam melibatkan empat lori muatan barang dan sebuah lori tangki membawa LPG.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan, anggota menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dan mangsa berjaya dikeluarkan selepas pillar pada lori dipotong dan regangan dilakukan.

Katanya, kerja-kerja menyelamat turut mendapat bantuan dari Paukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) untuk mengesan kebocoran.

Tambahnya, nahas tersebut bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kebocoran kepada tangki LPG dan operasi telah ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.10 pagi.

Dalam pada itu, @plustrafik memaklumkan nahas telah mengakibatkan aliran trafik terhenti disebabkan lorong kiri dan kanan lebuh raya terhalang.

Trafik kemudian kembali lancar pada jam 6.46 pagi Khamis sebaik sahaja kerja-kerja pengalihan selesai.

Sumber: Sinar Harian 

Tags: , , , ,

Category: KEMALANGAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *