Pemandu Maut Kereta Terbabas Langgar Penghadang Jalan

| October 17, 2021 | 0 Comments

Pemandu Maut Kereta Terbabas Langgar Penghadang Jalan | Shah Alam – Perjalanan dua rakan pulang ke rumah berakhir tragedi apabila seorang daripadanya maut selepas kenderaan dinaiki hilang kawalan sebelum melanggar penghadang jalan di Sungai Buloh berhampiran Plaza Tol Bukit Jelutong, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 pagi itu mangsa dikenali Muhammad Daniel Aifiq, 22, yang cedera parah tersepit dalam kenderaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa dan rakan wanita berusia 20 tahun menaiki kereta jenis Honda Civic dalam perjalanan pulang ke rumah dari rumah rakan di Kampung Melayu Subang.

“Mangsa yang memandu kereta itu sedang menghantar rakan wanitanya dahulu dipercayai telah hilang kawalan lalu melanggar penghadang jalan di sebelah kiri jalan.

“Pelanggaran itu menyebabkan kereta itu berpusing menghadap arah bertentangan dengan mangsa tersepit di dalam kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata beliau, mangsa telah berjaya dikeluarkan pihak bomba serta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Baharudin menambah, rakan wanitanya pula telah dihantar ke Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Hanif Sukri di talian 0148066744,” katanya.

Sumber : Kosmo

Tags: , , ,

Category: KEMALANGAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *