Pemandu Sakit Mental, Tiada Lesen Rempuh 7 Kenderaan | SERDANG: Seorang lelaki yang dipercayai mempunyai masalah mental ditahan selepas didakwa melanggar tujuh kenderaan di beberapa kawasan di ibu negara pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, dalam kejadian jam 3.50 petang Ahad itu, seorang penghantar makanan turut cedera selepas motosikal Yamaha LC135 miliknya dirempuh suspek.

Selain mangsa, suspek turut melanggar sebuah Perodua Myvi, Mazda 8, dan Honda Jazz di Jalan Balakong menghala Seri Kembangan, lapor Sinar Harian.

“Siasatan awal mendapati suspek berusia 36 tahun memandu BMW berkenaan secara laju dan melulu sebelum melanggar kesemua kenderaan tersebut dari arah belakang.

“Pelanggaran itu menyebabkan penunggang motosikal terbabit gagal mengawal kenderaannya lalu terjatuh di atas jalan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, penghantar makanan berusia 33 tahun terbabit mengalami kecederaan ringan pada tangan kanan dan badan telah mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta.

Katanya, suspek ditahan oleh sepasukan polis dari Balai Polis Salak Selatan Baru sekitar jam 7.10 malam pada Ahad.

“Hasil ujian saringan awal air kencing serta alkohol terhadap suspek didapati negatif dan dia dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk tindakan lanjut.

“Semakan dilakukan mendapati suspek mempunyai kad rawatan mental dari PPUM.

“Selain itu, suspek juga didapati tiada lesen dan saman akan dikeluarkan kepada pemilik kenderaan iaitu rakannya yang meminjamkan kereta berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Superintendan Zulkafli Chek Lah berkata, suspek didapati turut melanggar tiga buah kenderaan lain di Jalan 6/108C, Taman Sungai Besi dan Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) di sini sekitar jam 3.30 petang sebelum melarikan diri.

“Suspek yang memandu kereta jenis BMW dari arah Kuchai Lama menghala ke Taman Sungai Besi melanggar bahagian belakang kereta Perodua Bezza yang berhenti di lampu isyarat Jalan 6/108C.

“Suspek kemudian meneruskan perjalanan sehingga ke Lebuhraya Besraya dan melanggar bahagian belakang sebuah motosikal jenis Kawasaki Vulcan yang bergerak di lorong kanan lebuh raya.

“Suspek turut melanggar bahagian belakang sebuah motosikal jenis Honda RS150R yang bergerak di lorong tengah,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sumber: Awani

Share.

Leave A Reply