Pemandu Toyota Hilux Didakwa Atas Pertuduhan Membunuh | Pemandu Toyota Hilux yang melanggar lampu isyarat merah sehingga menyebabkan kematian seorang wanita pada ahad lalu didakwa di mahkamah pada hari ini atas pertuduhan membunuh.

Pemandu Toyota Hilux Didakwa Atas Pertuduhan Membunuh

Muar: Seorang pengusaha pasar mini didakwa di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang wanita, kelmarin.

Bagaimanapun, tiada rekod pengakuan dari tertuduh, Gui Chui, 69, kerana ia diluar bidang kuasa Mahkamah Majistret.

Tertuduh hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibaca ke atasnya dalam bahasa mandarin di hadapan Majistret, Zuraidah Abu Bakar.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian kepada Norain Abu Samah, 41. Kesalahan itu didakwa dilakukan di persimpangan lampu isyarat, Jalan Pintasan Bandar, Jalan Temenggong Ahmad dekat Muar, 7.45 pagi, Ahad lalu.

Pertuduhan ke atas tertuduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa kepada hukuman mati mandatori.

Pendakwaan tersebut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Putera Amirool Faez Suhasi manakala tertuduh pula diwakili peguam RK Balakrishnan.

Mahkamah kemudian menetapkan 25 Mei untuk tarikh semula sebutan kes.

ARTIKEL BERKAITAN :(Video) Hilux Rempuh Myvi Selepas ‘Langgar’ Lampu Isyarat Merah, Wanita Maut Dan Gadis Parah

Kelmarin, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner  Zaharudin Rasip berkata, seorang wanita maut selepas terbabit dalam satu kemalangan membabitkan enam kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Temenggong Ahmad dekat Muar.

Katanya, dalam kejadian pada jam 7.45 pagi, mangsa Norain Abu Samah, pemandu Perodua Myvi itu, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah pada anggota badan.

Tambahnya, anak kepada Norain, Nur Nabila Alisha Mohd Zalisham, 19, yang berada di tempat duduk penumpang hadapan parah, manakala 14 mangsa yang lain tidak mengalami kecederaan.

Sumber: Metro

Share.

Leave A Reply