Pemimpin BERSATU Kecam Tok Mat Kerana Dakwa 1MDB Isu Basi | SKANDAL 1MDB sebagai isu basi dan tidak lagi dipedulikan seperti dinyatakan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hassan amat memalukan dan satu lagi tragedi kepada bangsa Melayu.

Ketua Penerangan Bersatu Johor, Mohd Solihan Badri berkata kenyataan pemimpin kanan BN itu mencerminkan nilai prinsip kepemimpinan Umno yang cetek.

Malah beliau menyifatkan Mohamad angkuh dan tidak peka kerana menafikan sentimen akar umbi termasuk kemarahan rakyat terhadap penipuan serta penyelewengan kuasa dalam skandal tersebut.

“Skandal 1MDB adalah jenayah yang memalukan bangsa Melayu dan negara. Jadi bagaimana dalam satu tempoh singkat, Mohamad boleh melupakan penipuan dan penyelewengan kuasa paling besar serta terburuk pernah berlaku dalam sejarah zaman moden ini.

“Sebaliknya apabila Timbalan Presiden Umno itu dengan ‘bangga’ menyatakan isu 1MDB sudah basi dan tidak lagi dipedulikan rakyat, maka itu satu lagi tragedi melanda Bangsa Melayu.

“ini kerana mereka memiliki pemimpin yang sanggup mengabaikan perasaan dan kepentingan seluruh bangsa semata-mata untuk mempertahankan pemimpin tertentu,” katanya menerusi kenyataan.

Sehubungan itu Mohd Solihan berkata, jika itu cara bercakap, tahap kemampuan berfikir serta pegangan pemimpin Umno seperti Mohamad, maka parti itu sudah tidak ada nilai lagi.

Justeru, katanya, Bersatu Johor mendesak beliau meminta maaf dan menarik balik kenyataan itu secara terbuka kerana ia melukakan hati, memalukan serta mencemarkan maruah Melayu.

Semalam Mohamad dilaporkan berkata isu kluster mahkamah dan MDB dibawa pembangkang sudah basi.

Beliau turut mengambil contoh semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka sebelum ini di mana rakyat di dua negeri berkenaan sudah tidak mempedulikan isu terbabit.

Katanya, ini disebabkan isu berkenaan sering digunakan oleh pembangkang terutamanya Pakatan Harapan (PH).

SUMBER : MP

Share.

Leave A Reply