Pemuda Cedera Akibat Dilanggar Pemandu Mabuk | Wanita yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk melanggar sebuah motosikal di Lebuhraya Persekutuan di sini, malam tadi.

Pemuda Cedera Akibat Dilanggar Pemandu Mabuk

Dalam kejadian pada 8 malam itu, wanita berusia 21 tahun terbabit memandu Perodua Axia dari arah Kuala Lumpur menghala ke Petaling Jaya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, sebaik tiba di kawasan berhampiran pintu gerbang Kota Darul Ehsan, wanita berkenaan didapati tersalah masuk ke lorong motosikal.

“Wanita berkenaan memandu melawan arus dan menghala semula ke Kuala Lumpur di lorong motosikal berkenaan.

“Kemudiannya pemandu terbabit gagal mengelak sebuah motosikal yang datang dari arah Kuala Lumpur sebelum melanggarnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zulkefly berkata, penunggang motosikal yang berusia 42 tahun mengalami cedera di kaki, manakala pemandu wanita berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Susulan kejadian itu, wanita terbabit ditahan dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk diambil spesimen darah dan air kencing untuk ujian toksikologi.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 79(2) dan Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber : Harian Metro

Share.

Leave A Reply