Seorang penceramah bebas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Klang hari ini selepas didakwa dengan sembilan pertuduhan merogol, amang seksual dan melakukan hubungan seks dengan objek terhadap seorang remaja antara Jun 2021 dan Februari lepas.

Menerusi laporan dari Bernama, tertuduh yang dikenali sebagai Muhammad Fathi Na’im Mazlam, 30, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Fathi Naim telah membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Syafeera Mohd Said.

Dia yang juga merupakan suami kepada 3 orang isteri itu didakwa atas tujuh pertuduhan  merogol dan masing-masing satu bagi pertuduhan melakukan amang seksual. Disertakan juga hubungan seks dengan objek terhadap seorang remaja perempuan yang kini berusia 14 tahun.

Difahamkan, perbuatan jijiknya telah dilakukan di dalam sebuah  kereta jenis Toyota Vellfire di hadapan surau dan di parkir Dataran Eco World. Termasuk juga di sebuah hotel di sekitar Bandar Puncak Alam sekitar Jun 2021 dan Februari lalu.

Untuk kesalahan merogol dan melakukan amang seksual, bapa lapan anak itu didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017, masing-masing memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan jika sabit kesalahan, tertuduh boleh juga disebat.

Bagi kesalahan melakukan hubungan seks dengan objek, penceramah terbabit didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Walau bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Samry Masri telah merayu kepada mahkamah agar anak guamnya dikenakan jaminan yang rendah memandangkan dia adalah penanggung utama keluarga.

“Sebelum ditangkap tertuduh adalah penceramah bebas dan selepas kes ini tular, dia hilang punca pendapatan. Tertuduh juga mempunyai tiga isteri dan lapan anak berusia satu hingga 11 tahun selain menanggung kedua-dua ibu bapa yang telah tua.

“Selain itu, tertuduh kini menghidapi sakit ‘slipped disc’ dan sedang menjalani rawatan dari semasa ke semasa,” katanya.

Susulan daripada itu, pihak hakim membenarkan Muhammad Fathi Na’im diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan serta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali serta tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 10 Jan tahun depan untuk sebutan semula kes.

Sumber: OMM

 

Baca Juga: Penceramah Bebas Didakwa Kes Amang Seksual Kanak-Kanak 5 Tahun

Seorang penceramah bebas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan yang juga ahli keluarganya.

Tertuduh membuat pengakuan itu selepas tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa yang berusia lima tahun sembilan bulan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah bot di Hulu Terengganu antara 4 hingga 6 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) dan Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat bagi setiap pertuduhan berkenaan, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 20 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin.

Susulan itu, Mahkamah juga menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri ke balai polis berhampiran selain tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi sepanjang prosiding berlangsung.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Nor Hilwani Mat Rifin, manakala tertuduh diwakili Mohd Ridzuan Muhamad.

Sumber: KMN

Share.

Leave A Reply