Pendaki Australia M4ut Ketika Turun Dari Gunung Everest | MOSCOW – Jurutera perlombongan Australia, Jason Bernard Kennison, peserta ekspedisi ke Gunung Everest, meninggal dunia ketika dalam perjalanan turun dari puncak tertinggi dunia itu, lapor Sputnik yang memetik laporan media.

Kennison, 40, meninggal dunia di kawasan dipanggil Balkoni pada ketinggian melebihi 8,000 meter (26,200 kaki) pada Jumaat, lapor Himalayan Times, memetik pengarah urusan Asian Trekking, Dawa Steven Sherpa.

Selepas warga Australia itu mula berkelakuan tidak normal di Puncak Selatan, dua Sherpa membawanya ke Balkoni, di mana beliau rebah, kata laporan itu, sambil menambah bahawa mayatnya masih berada di lokasi.

Pada 2006, Kennison dilaporkan cedera parah dalam kemalangan jalan raya dan terpaksa menghabiskan masa bertahun-tahun dalam pemulihan sehingga perlu belajar cara berjalan.

Lelaki itu mensasarkan untuk mengumpul dana untuk membantu orang ramai mengalami nasib sama sepertinya, kata akhbar itu.

Seorang lagi pendaki dari Malaysia, Awang Askandar Ampuan Yaacub meninggal dunia di Gunung Everest juga pada Jumaat, kata akhbar itu memetik pegawai.

Sekurang-kurangnya 300 orang maut ketika mendaki gunung tertinggi di dunia sejak permulaan rekod, dengan jumlah itu meningkat setiap tahun. Mayat kira-kira 200 orang pula tidak pernah dibawa turun dari Gunung Everest.

Sumber: SH

 

ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA

Lapan Kereta Pendaki Gunung Gayung Dipecah Masuk

IPOH – Lapan kenderaan milik pendaki Gunung Korbu dan Gunung Gayung (Korga) dipecahkan ketika ditinggalkan di Empangan Sultan Azlan Shah, Ulu Kinta di sini pada Isnin.

Kejadian itu disedari sekitar jam 3.10 petang oleh seorang malim gunung selepas selesai menjalankan aktiviti pendakian berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, mangsa bersama beberapa rakan meletakkan kenderaan di lokasi kejadian sejak Sabtu untuk menjadi pemandu arah mendaki gunung selama tiga hari.

“Selesai mendaki, lelaki berusia 49 tahun itu pergi ke arah kereta dan mendapati cermin hadapan sebelah pemandu pecah dan beg yang diletakkan di bawah kerusi telah hilang.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kerugian hampir RM2,500. Kejadian adalah kali pertama berlaku sepanjang mangsa menjadi pemandu arah gunung kawasan tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Beliau berkata, seorang lagi mangsa iaitu lelaki berusia 53 tahun turut kehilangan beberapa barangan termasuk wang tunai RM1,000 dan telefon bimbit.

“Dalam kes ini, terdapat lebih kurang lapan kenderaan dipecahkan cermin dan disyaki dilakukan oleh suspek yang sama.

“Bagaimanapun, sehingga kini hanya dua mangsa tampil membuat laporan polis,” katanya.

Menurut Yahaya, pemeriksaan di tempat kejadian mendapati kenderaan terlibat diletakkan di dalam kawasan semak yang telah dibersihkan.

Katanya, selain jauh dari pondok pengawal, lokasi itu juga jauh dari penempatan penduduk dan tiada kawalan keselamatan di tempat kereta diletakkan.

“Siasatan lanjut dilakukan bagi mengesan suspek terlibat. Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Kejadian itu tular di media sosial selepas satu video dimuat naik di Twitter menunjukkan keadaan kenderaan yang dipecah serta barang-barang dalam kenderaan yang dicuri.

Difahamkan semua kenderaan itu diletakkan oleh pendaki di kawasan lapang tanah rata berdekatan dengan perkampungan Orang Asli sebelum memulakan pendakian.

Sumber: Sinar Harian

Share.

Leave A Reply