Pendedahan Oleh Tajuddin Rahman, Penganalisis Politik Terpaksa Turun Padang. Pendedahan oleh Tajuddin Rahman telah mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan penganalisis politik. Baca seterusnya.

KUALA LUMPUR: Pelbagai dakwaan mengenai UMNO dan kepimpinan parti itu yang dibuat oleh Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengundang reaksi pelbagai dalam kalangan penganalisis politik.

Ada yang berpandangan, dakwaan Tajuddin itu tidak menjejaskan UMNO kerana dibuat susulan rasa kecewa akibat digugurkan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, selain tidak mempunyai merit susulan personalitinya yang sering dilihat sebagai ‘kaki gaduh’ yang tidak memberi kelebihan kepada UMNO.

Namun, ada yang menjangkakan kenyataan dibuat Ketua UMNO Pasir Salak itu akan mewujudkan kesan rantaian dalam UMNO, jika kemelut itu dibiarkan berpanjangan.

Penganalisis politik, Datuk Shamsuddin Nawawi, berkata implikasi kemelut dalaman UMNO itu antara lain boleh mengakibatkan pengundi cenderung tidak memilih parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Tak wajar perlekeh individu tak senada pemimpin

“UMNO tak boleh leka dengan sindrom penafian kerana ia adalah punca utama kekalahan pada PRU14. Masalah kecil tetap masalah dan mungkin menjadi parah, selain jangan perlekeh individu tidak senada dengan pemimpin, sebaliknya raikan perbezaan pendapat mereka.

“Kemelut antara Tajuddin dan Ahmad Zahid ini bukan beri masalah kepada UMNO, sebaliknya bagi ekosistem di luar parti. Rakyat akan melihat UMNO asyik bergaduh dan ia tidak menguntungkan mereka.

“Justeru, ini akan mewujudkan pandangan ‘buat apa undi UMNO’, selain menyebabkan pengundi sama ada memilih pembangkang atau langsung tidak mengundi,” katanya.

Semalam, Tajuddin mendakwa Ahmad Zahid tidak layak memimpin UMNO dan perlu undur diri secara terhormat, selain mendedahkan keputusan mesyuarat MKT parti itu selama ini dibuat mengikut kehendak Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Tajuddin juga mendakwa Ahmad Zahid tidak berpuas hati dengan kedudukan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri, kerana tidak diberi peluang menggalas jawatan itu.

Sementara itu, Shamsuddin berkata, kemelut berterusan dalam kalangan pemimpin UMNO akan mewujudkan pelbagai kesan rantaian, sekurang-kurangnya sehingga pemilihan parti berkenaan.

Keadaan itu, katanya, akan mewujudkan amalan ‘saling membuka pekung’ antara pemimpin yang bertanding pada pemilihan UMNO, selain memberi impak kurang baik kepada individu tidak senada dengan kepemimpinan utama parti.

“Mereka (individu tak senada dengan pemimpin utama) akan dilabel sebagai proksi kepada calon yang bersaing bagi jawatan sama. Sebagai contoh, saya melihat Ismail Sabri mungkin akan bertanding jawatan Presiden, menentang Ahmad Zahid.

“Keadaan ini mungkin menyebabkan Tajuddin dianggap sebagai proksi Ismail Sabri dan pihak lawan akan cuba buka pekung Ahli Parlimen Bera itu dengan keadaan ini menjadi kitaran tidak sihat bagi UMNO.

“Ia antara lain menyebabkan ramai pemimpin muda dilahirkan UMNO cenderung ‘main dua kolam’ bagi memastikan kelangsungan mereka dalam parti,” katanya.

Pandangan hampir sama diketengahkan penganalisis politik, Datuk M Periasamy, yang menyifatkan kenyataan Tajuddin akan mencacatkan imej UMNO, selain berisiko memberi kesan kepada Barisan Nasional (BN) pada PRU-15.

Katanya, kenyataan Tajuddin itu antara lain menimbulkan kebimbangan dalam kalangan akar umbi terhadap semangat dan ketelusan kepemimpinan parti memperjuangkan agenda UMNO.

“Kelemahan dan pergolakan dalaman parti tidak sewajarnya didedahkan secara terbuka kerana ia akan menimbul suasana membentuk persepsi politik berbeza-beza dalam kalangan ahli mahupun rakyat.

“Ia juga sudah tentu akan menjejaskan kreadibiliti dan imej parti, terutamanya semasa UMNO sedang mempersiapkan jenteranya bagi menghadapi PRU-15 yang dianggap cukup mencabar,” katanya.

Pemimpin UMNO ada kes mahkamah patut berundur

Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail, pula berharap pemimpin UMNO yang berdepan kes mahkamah sama ada bersalah atau tidak, berundur daripada jawatan seperti yang diputuskan dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sebelum ini.

Pandangan berbeza dikemukakan penganalisis politik, Prof Adjung Dr Jeniri Amir, yang menyifatkan kenyataan Tajuddin tidak memberi kesan kepada UMNO, sebaliknya lebih mencerminkan personaliti yang kecewa.

Beliau berpandangan, kenyataan Tajuddin tidak memberi kesan mendalam kepada UMNO, selain menyifatkan pendedahan itu hanya mengabsahkan dakwaan berkaitan isu sama, sebelum ini.

“Ia hanya lebih banyak menggambarkan Tajuddin sebagai personaliti kecewa, selain reputasinya lebih teruk terjejas oleh kerana tindakan beliau.

“UMNO sebaliknya perlu memberikan tumpuan lebih kepada kaedah untuk meraih kemenangan besar pada PRU-15 dan bergerak ke depan, melainkan mahu ‘pisang berbuah dua kali’ seperti dialami pada PRU14,” katanya.

Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi pula berpendapat kenyataan Tajuddin bukanlah faktor penentu kepada kemenangan atau kekalahan UMNO pada PRU-15, selain ahli mampu menilai ‘watak’ diperlukan UMNO bagi memastikan kemenangan.

Penganalisis politik, Datuk Ismail Sualman, berpandangan kenyataan Tajuddin mungkin dibuat berdasarkan dendam kerana digugurkan sebagai ahli MKT UMNO, selain menyifatkan beliau sebagai liabiliti dalam parti itu.

“Banyak kenyataan beliau yang tidak menguntungkan UMNO dan menyebabkan tindakan diambil ke atasnya, selain personalitinya yang begitu lantang,” katanya.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar yang juga Pengarah Komunikasi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri, berharap kepimpinan UMNO tidak melayan kenyataan Tajuddin yang disifatkan semakin keanak-anakan selepas digugurkan daripada MKT.

“Apa yang didedahkan itu, jika benar sekali pun sudah tidak lagi relevan sebab Perhimpunan Agung UMNO (PAU) sudah putuskan tiada kerjasama dengan Anwar atau PKR.

“Pada saya, beliau cuma timbulkan isu ini dengan tujuan menimbulkan kebencian ahli dan umum terhadap reputasi Zahid secara peribadi, bukan kepada parti,” katanya.

Sumber: BH

Share.

Leave A Reply