Ini Cerita Saksi Yang Melihat Detik-Detik Helikopter Terhempas. | AMPANG – Penduduk di sekitar Taman Melawati terdengar bunyi helikopter terhempas kira-kira 11 pagi, hari ini.

“Saya nampak helikopter merah melanggar belakang helikopter biru menyebabkan ekor helikopter biru itu patah,” kata Puteri Nur Elani Ismail, 25, saksi tragedi helikopter terhempas di Taman Melawati, di sini, hari ini.

Difahamkan, helikopter jenis Guimbal Cabri G2 (G2CA) berwarna biru dinaiki dua mangsa yang terkorban, manakala helikopter jenis sama berwarna merah pula dinaiki dua mangsa yang terselamat.

Penuntut sebuah kolej swasta itu berkata, ketika kejadian 11.30 pagi, dia sedang mengambil daun senduduk berhampiran Bulatan Bukit Emas yang terletak kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.

Elaini mengakui sebelum kejadian dia turut mendengar bunyi di udara dan menyangka helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melakukan tinjauan.

“Apabila saya lihat, nampak ada dua helikopter sedang terbang iaitu biru di depan dan merah di belakang. Secara tiba-tiba (helikopter) yang merah melanggar belakang (helikopter) biru.

“Akibat pelanggaran itu, bahagian belakang helikopter biru patah dan merah pula berhenti. Kemudian helikopter biru menjunam ke bawah dan saya mendengar bunyi dentuman kuat.

“Manakala, helikopter merah meneruskan perjalanan dan mendarat di kawasan sekolah yang terletak berhampiran,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, di sini.

Nur Elaini berkata, dia turut ke lokasi helikopter itu terhempas dan melihat orang ramai dengan anggota polis mengawal lalu lintas.

Penduduk yang enggan dikenali berkata, beliau menyedari kejadian itu ketika selesai melakukan aktiviti merentas hutan di sekitar kawasan itu.

“Saya bersama beberapa lagi penduduk bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati sebuah helikopter warna biru terhempas di hadapan sebuah apartmen dan sebuah lagi helikopter warna merah pula terhempas di padang Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Taman Melawati,” katanya kepada media di lokasi kejadian di sini hari ini.

Laporan awal mendapati kemalangan melibatkan dua buah helikopter bertembung dan terhempas.

Difahamkan yang meninggal dunia dalam kejadian itu adalah jurulatih penerbangan Mohd Sabri Baharom dan Mohd Irfan Mohammed Rawi.

Menurut beliau, mangsa Mohd Sabri adalah jiran yang dikenalinya.

“Mangsa adalah jiran saya, beliau merupakan seorang yang peramah, ” katanya.

Sementara itu, seorang lagi saksi, pengawal keselamatan Apartmen Hillside Taman Melawati Chan Chee Hoy turut terdengar bunyi kuat.

“Pada mulanya, saya ingat bunyi lori sedang mengangkat barang, sebelum terdengar bunyi kuat akibat helikopter terhempas di hadapan apartmen ini,” katanya.

Sebelum ini polis mengesahkan identiti dua mangsa yang maut dalam nahas helikopter di Taman Melawati.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dua mangsa yang maut adalah Mohd Irfan dan Mohd Sabri.

Manakala, dua mangsa yang terselamat adalah Datuk Ahmad Jauhari Yahya yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad (MAS) dan Tan Chai Elan.

Sumber : SH

Share.

Leave A Reply