“DAP punya perangai mungkin dia tidak hormat Yang di-Pertuan Agong tapi saya hormati Yang di-Pertuan Agong.”

Penetapan Tarikh PRU15. Ismail Sabri Selar DAP 'Mungkin' Tak Hormat Agong

Demikian jawapan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika diminta mengulas kenyataan Setiuasaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang mendakwa beliau ‘flip-flop’ dalam menentukan keputusan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurut Perdana Menteri, beliau tiada kuasa untuk menetapkan tarikh pilihan raya kerana semuanya terletak kepada keputusan Agong.

Ujarnya, kabinet akan berikan mandat kepadanya untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menasihati Seri Paduka Baginda.

Jelasnya, kuasa terakhir adalah di tangan Yang di-Pertuan Agong. Baginda boleh tentukan kerana dalam Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong boleh menolak atau bersetuju.

Menurutnya, Seri Paduka Baginda boleh menolaknya kalau baginda tidak bersetuju justeru, beliau tidak boleh katakan tarikh yang tepat kerana itu akan mengambil alih tugas Yang di-Pertuan Agong.

Jelasnya lagi, hal tersebut salah dari segi perlembagaan jika beliau tetapkan tarikh kerana kuasa penentu adalah daripada Yang di-Pertuan Agong.

Tambah beliau, Perdana Menteri terdahulu termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad juga tidak menetapkan tarikh pilihan raya.

Beliau berkata, cuba semak dari kenyataan Perdana Menteri dahulu, ada atau tidak Perdana Menteri dahulu menetapkan tarikh PRU. Kalau tanya Dr Mahathir waktu itu, beliau juga akan berkata bahawa belum dapat ilham.

Beliau memaklumkan, jika beritahu lebih awal, seronoklah DAP. Mereka boleh siap sedia awal (ketawa). Jadi, kita tidak tahu bila.

Ujarnya, PRU akan dibincangkan oleh bersama top five UMNO, ada biro politik, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, dalam mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN). Kemudian beliau juga akan bincang dalam Kabinet.

Anthony Loke sebelum ini di Facebook beliau berkata, Perdana Menteri perlu konsisten dan tegas dalam pendiriannya berkaitan tarikh pilihan raya.

Menurutnya, kenyataan dan mesej yang ‘flip-flop’ hanya akan menimbulkan ketidakstabilan politik yang berlanjutan dan akan memudaratkan lagi keadaan ekonomi negara.

Sumber: Astro Awani

Share.

Leave A Reply