Penganggur Didakwa Bunuh Rakan

| October 5, 2020 | 0 Comments

Penganggur Didakwa Bunuh Rakan | Alor Gajah: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang rakan yang mayatnya ditemukan dalam sebuah beg hitam di dalam kereta yang terbakar di Pulau Sebang di sini, bulan lalu.

 

A Sitambarasan, 28, yang beralamat di Johor, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurhasmanita Abdul Manap.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu bersama-sama dua orang lagi yang masih bebas didakwa membunuh Sua Chun Chai, 31, seorang pekerja pendawaian di hadapan sebuah bengkel di Jalan IKS 6, IKS Pulau Sebang di sini antara 14 September dengan 17 September lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 16 November ini untuk sebutan semula kes, bagi mendapatkan laporan kimia dan bedah siasat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Arthana Sarma Rao, sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 17 September lalu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, satu mayat ditemukan dalam sebuah beg hitam di dalam kereta jenis Honda Civic Ferio yang terbakar di hadapan sebuah bengkel di Pulau Sebang, pada 7.25 pagi.

Beliau dipetik sebagai berkata, mayat tanpa identiti itu ditemukan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dari balai Tampin, Negeri Sembilan di bahagian tempat duduk penumpang belakang kereta itu, selepas berjaya memadam kebakaran kereta itu.

Sumber : HMetro

Tags: , , ,

Category: JENAYAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *