Seorang penganggur dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi hari ini, selepas didapati bersalah membunuh juruteknologi pergigian, empat tahun lalu.

Hakim Azizul Azmi Adnan menjatuhkan hukuman itu terhadap Abdul Malik Rosli, 24, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Selain itu, Azizul Azmi dalam penghakimannya menegaskan mahkamah tidak memberikan budi bicara, memandangkan tiada hukuman lain dalam kesalahan membunuh kecuali hukuman gantung sampai mati.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Husni Fairos Ramly berhujah, mahkamah perlu mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan peribadi dalam membuat keputusan.

Katanya, hukuman berat perlu dikenakan sebagai amaran dan pengajarannya kepada tertuduh dan masyarakat.

“Kesalahan dilakukan Orang Kena Tuduh (OKT) dirancang, malah dia tergamak mengambil barang si mati dan memukulnya dengan peralatan di dalam rumah mangsa,” katanya.

Sementara itu, peguam Datuk Haniff Hasan yang mewakili tertuduh pula berkata, kesalahan yang dilakukan bukan jenayah terancang. Hal ini kerana memandangkan tiada penglibatan sindiket dan tertuduh tidak menerima upah.

“Sebaliknya, ia berlaku akibat tekanan perasaan OKT sehingga menyebabkan dia bertindak di luar batasan sepatutnya.

“Latar belakang tertuduh perlu diambil kira di mana dia yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik tidak bekerja dan datang daripada keluarga miskin,” katanya.

Haniff berkata, pihak pembelaan akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan mahkamah hari ini.

Pada 12 Februari 2018, media melaporkan tertuduh didakwa membunuh Mahussin Abdul Rahim, 28, di sebuah unit di Kuarters Klinik Kesihatan Lukut, Port Dickson pada 1.40 pagi, 19 Januari 2018.

Susulan itu, mayat Mahussin ditemui rakannya selepas 72 jam dilaporkan hilang dan tidak datang bekerja pada 22 Januari 2018.

Suspek melarikan diri menggunakan motosikal mangsa dan siasatan polis membawa kepada penahanannya di sebuah rumah di Johor Bahru pada 30 Januari 2018.

Selepas itu, laporan menyebut bahawa  suspek didakwa mengenali mangsa melalui aplikasi WeChat dan dijanjikan pekerjaan yang menyebabkan dia datang ke rumah mangsa menaiki bas.

Namun mangsa didakwa tidak menepati janji lalu berlaku pertengkaran yang membawa kepada kematian mangsa.

Sumber : Harian Metro

Share.

Leave A Reply