Pengasuh sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tujuh tuduhan mendera bayi lelaki berusia empat bulan sehingga koma.

Tertuduh, Raja Noor Iffa Nadia Raja Nordin, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan pertama hingga tujuh, wanita itu didakwa menganiayai mangsa yang berusia empat bulan sehingga menyebabkannya mengalami pendarahan di dalam kepala dan retak di bahagian kiri tempurung kepala.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Taska di daerah ini antara 1 hingga 3 Januari lalu dan kesalahan mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hanis Nabihah Hizamul-Din, manakala tertuduh diwakili peguam Abdul Hayyi Salim.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan seorang bayi lelaki berusia empat bulan koma selepas dipercayai didera pengasuh di Taska di daerah ini.

Bayi malang itu mengalami pendarahan dalam otak dan keretakan pada tempurung kepala.

Sumber : HM

 

ARTIKEL YANG BERKAITAN

Tiga Kakitangan Taska Ditahan Disyaki Dera Bayi Hingga Koma

Tiga kakitangan taman asuhan kanak-kanak (taska) di sini, ditahan selepas dipercayai mendera bayi lelaki berusia empat bulan sehingga koma, Rabu lalu.

Tiga Kakitangan Taska Ditahan Disyaki Dera Bayi Hingga Koma

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, suspek wanita berusia 22 hingga 33 tahun ditahan sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu di premis berkenaan, di sini, semalam.

Katanya, tangkapan dibuat selepas polis menerima laporan berhubung kejadian daripada bapa mangsa berusia 29 tahun, Rabu lalu.

Jelasnya, berdasarkan laporan, bapa mangsa yang bekerja sebagai Pegawai Perubatan mendapati berlaku pendarahan dalam otak selain keretakan pada tempurung kepala bayi terbabit.

“Susulan itu, tiga suspek terbabit dipanggil memberi keterangan, namun menafikan kejadian selain keterangan mereka meragukan.

“Bagaimanapun, siasatan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di taska berkenaan mendapati suspek bertindak memukul kepala mangsa dengan tangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Perhimpunan Bulanan PDRM Terengganu Januari 2023 di pekarangan IPK Terengganu, di sini, hari ini.

Menurutnya, kesan daripada perbuatan itu, mangsa mengalami pendarahan dalam otak dan berlaku keretakan pada tempurung kepala.

“Kecederaan dialami mangsa serius dan masih dalam keadaan koma di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

“Kesemua suspek terbabit direman selama enam hari bermula hari ini dan akan disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Sumber: KMN

Share.

Leave A Reply