Pengasuh Taska Didakwa Atas Kesalahan Mendera Dengan Sengaja

| June 20, 2021 | 0 Comments

Pengasuh Taska Didakwa Atas Kesalahan Mendera Dengan Sengaja | Seorang pengasuh taska mengaku tidak bersalah di mahkamah sesyen hari ini. Pengasuh itu didakwa atas pertuduhan mendera seorang kanak-kanak perempuan di Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di sebuah hospital di Serdang pada 8 Jun lalu.

Pengasuh Taska Didakwa Atas Kesalahan Mendera Dengan Sengaja

Nur Fatin Nabila Azmi, 23 didakwa telah mendera seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun lapan bulan secara sengaja. Penderaan itu turut telah menyebabkan berlakunya kecederaan fizikal pada mangsa.

Pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Noor Hisham Ahmad Jaafar. Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan yang dilakukan, kejadian dilaporkan berlaku pada jam 10.30 pagi di sebuah pusat taska yang terletak di kediaman kakitangan Hospital Serdang, Jalan Puchong, Kajang.

Timbalan Pendakwa Raya Aiza Ali Raman menawarkan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap awal bulan serta tidak mengganggu mangsa.

Hakim Noor Hisham membenarkan ikat jamin dikurangkan kepada RM10,000 dengan mengambil kira faktor tanggungan tertuduh yang mempunyai ibu bapa uzur dan menghidap penyakit kritikal.

Mahkamah menetapkan 26 Julai tarikh sebutan semula kes.

Sumber: Harian Metro

Tags: , , ,

Category: JENAYAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *