Pengsan Di Sekolah Bongkar Perbuatan Keji Ayah Kandung | KOTA BHARU – Seorang buruh dicekup selepas dipercayai memperkosa anak kandungnya yang kini berusia 14 tahun di rumah mereka di sebuah taman perumahan di Tanah Merah dekat sini sejak empat tahun lalu.

Suspek yang berusia 39 tahun ditahan selepas remaja itu dan guru kaunseling di sekolahnya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah di sini kira-kira pukul 11.55 pagi semalam.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, mangsa dipercayai pengsan di dalam kelas semasa berada di sekolah ekoran mengalami tekanan dipercayai akibat memendam perasaan selepas dirogol bapanya.

Menurutnya, perbuatan suspek terbongkar selepas mangsa menceritakan peristiwa hitam yang menimpanya kepada guru kaunselingnya sebelum guru tersebut membawa mangsa ke IPD Tanah Merah untuk membuat laporan.

“Berdasarkan keterangan mangsa, kali terakhir suspek merogolnya kira-kira pukul 2 pagi semalam semasa dia sedang tidur di dalam sebuah bilik di rumah mereka.

“Siasatan awal mendapati, mangsa tinggal bersama suspek dan ibu tiri termasuk empat adik beradik tirinya berusia lapan bulan hingga 8 tahun di rumah itu sejak lima tahun lalu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Menurut Muhamad Zaki, mangsa terus dibawa ke Hospital Tanah Merah di sini dan pemeriksaan mendapati terdapat kesan koyakan lama pada kemaluan mangsa.

Katanya, suspek ditahan semasa berada di pekarangan wad kecemasan hospital tersebut semalam dan semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau selain negatif daripada penyalahgunaan dadah.

“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu. Setakat ini, kita masih belum mendapat maklumat jumlah keseluruhan suspek merogol anaknya dalam tempoh empat tahun ini.

“Tindakan guru kaunseling yang membawa mangsa untuk melaporkan kejadian itu kepada polis sekali gus keluar daripada masalah yang membelenggunya wajar diberikan pujian,” katanya.

Tambah Muhamad Zaki, kes disiasat mengikut Seksyen 376 B Kanun Keseksaan.

SUMBER : Kosmo!

Share.

Leave A Reply