Pengurus Dipukul Mati, Warga Myanmar Ditahan | Pihak polis telah menahan seorang wargannegara Myanmar yang dikatakan menjadi punca kepada kematian seorang pengurus kilang perabot. Lelaki itu dipercayai merupakan pekerja di kilang itu dan telah memukul pengurusnya dengan menggunakan kayu sebelum melarikan diri dengan menggunakan basikal.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, kejadian kira-kira 8 pagi itu disedari seorang lagi pengurus syarikat itu yang menjumpai Kew Nam Wang, 52, mengalami kecederaan dan pendarahan di kepala. Kejadian itu telah berlaku di sebuah kilang perabot di Kawasan Perindustrian Pengkalan 2, Pusing, Batu Gajah, dekat Ipoh, Perak.
Kejadian itu telah disaksikan oleh dua orang lelaki senegara, menurut mereka lelaki itu telah mengambil sebatang kayu dan memukul mangsa di belakang kepala di tempat kejadian. Mangsa terus terjatuh ke atas lantai dan mengalami pendarahan di kepala, manakala suspek melarikan diri dengan menaiki basikal.
Mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk menerima rawatan, namun doktor mengesahkan dia meninggal dunia kira-kira 8.35 malam berikutan pendarahan di dalam otak, retak tempurung kepala dan patah tulang tengkuk.
Suspek telah berjaya ditahan oleh pihak polis di belakang kawasan perumahan Bandar Seri Pengkalan, Pusing, pada 6.15 petang semalam dan direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sumber: Free Malaysia Today