Mahkamah Majistret di sini, hari ini, memerintahkan pengurus madrasah, Syamsul Zaman Sukri membela diri atas pertuduhan mencabul seorang lelaki di sebuah hotel pada Disember 2020.

Majistret Mohd Izdham Naim Che Ani membuat keputusan itu selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Syamsul Zaman, 33, yang dikenali sebagai ‘Ustaz Budak’ dan seterusnya mengarahkan tertuduh membela diri.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Edabayu Subhan, manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Adha Amir Yasser Amri.

Mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan untuk Syamsul Zaman membela diri pada 25 Januari depan.

Tertuduh memilih untuk memberikan keterangan secara bersumpah.

Mohd Izdham berkata, dalam kes ini pihak pendakwaan memanggil lima saksi dan mahkamah meneliti segala keterangan serta hujahan saksi.

“Dalam kes ini, mahkamah mengguna pakai penilaian maksimum, selain mahkamah turut berpuas hati dengan keterangan pengadu.

“Pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie terhadap tertuduh dan oleh itu tertuduh diarah membela diri,” katanya.

Mengikut kertas pertuduhan, Syamsul Zaman dituduh melakukan kelucahan melampau terhadap seorang lelaki berusia 30 tahun.

Kejadian itu dilakukan di sebuah bilik The Infinite Hotel di Kota Bharu pada jam 1.15 pagi pada 16 Disember 2020.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun.

 

Sumber : BH

Share.

Leave A Reply