Pengutip Besi Mengamuk Di Balai Polis Terima Padah

| January 26, 2021 | 0 Comments

Pengutip Besi Mengamuk Di Balai Polis Terima Padah | Ipoh – Seorang pengutip besi terpakai dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan iaitu merusuh, melakukan khianat dan mencederakan anggota polis di Balai Polis Lahat Ahad lalu.

lelaki mengamuk dibalai polis

Tertuduh, Arnee Ahamad Pazir, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nur Melati Diana Abd. Wahab.

Mengikut pertuduhan pertama, Arnee didakwa berkelakuan rusuh mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 yang boleh dihukum denda sehingga RM500 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan niat melakukan khianat iaitu menyebabkan kerosakan pada pintu cermin Balai Polis Lahat bernilai RM380.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Lelaki tersebut turut didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Koperal Mohamad Anuar Mohd. Noor dengan memukul kepalanya menggunakan topi keledar yang boleh menyebabkan kematian.

Bagi pertuduhan ini, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga sepuluh tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan tersebut didakwa dilakukan di pejabat enkuiri, Balai Polis Lahat di sini pada pukul 11.40 pagi 24 Januari lalu.

Sumber : Kosmo

Tags: , , ,

Category: JENAYAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *