Peniaga Direman Empat Hari Atas Ugutan Jenayah | Seorang peniaga ditahan reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes ugutan jenayah terhadap pegawai polis, dua bulan lalu.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 53 tahun tersebut dikeluarkan Majistret Noradila Ab. Latif bagi membolehkan siasatan terhadap suspek dilakukan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

Superintenden Baharudin Abdullah, Ketua Polis Daerah Dungun, berkata, suspek ditahan di Bangi, Selangor kira-kira pukul 12 malam tadi.

Beliau berkata, kesalahan tersebut dilakukan suspek yang merupakan penduduk tempatan itu kira-kira dua bulan lalu.

Beliau juga berkata, selepas sebulan usaha menjejaki suspek dilakukan, akhirnya mereka berjaya melakukan penahanan.

Baharudin berkata, sabit kesalahan, suspek boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sumber: Utusan Malaysia

 

Artikel Lain

Peniaga Diperas Ugut, Kereta Dibakar, Terima Video Ugutan Dari ‘Pelanggan’ Neraka

Kereta dibakar, selain menerima pelbagai mesej, gambar dan video ugutan menerusi WhatsApp.

Peniaga Diperas Ugut, Kereta Dibakar, Terima Video Ugutan Dari 'Pelanggan' Neraka

Itu yang dialami pasangan suami isteri yang menjadi mangsa peras ugut apabila diminta membayar RM20,000 kepada ‘pelanggan’ yang mendakwa tidak berpuas hati dengan perkhidmatan ditawarkan.

Difahamkan, pelanggan yang memperkenalkan dirinya sebagai Ben mendekati mangsa menerusi WhatsApp untuk menggunakan perkhidmatan pengiklanan bagi mempromosi syarikat pinjaman duit.

Mangsa dikenali sebagai Loo, 33, yang menawarkan perkhidmatan pengiklanan berkata, pelanggan sudah membuat pembayaran sebanyak RM2,100 namun, pada 26 November, mangsa menerima mesej berbaur ugutan menerusi WhatsApp.

“Pelanggan terbabit dikatakan tidak berpuas hati dengan perkhidmatan pengiklanan yang saya buat di Facebook dan meminta ganti rugi sebanyak RM20,000.

“Saya enggan membuat apa-apa pembayaran kerana tiada faktor yang munasabah untuk berbuat demikian, malah saya juga tidak pernah meminjam duit dengan sesiapa pun.

“Pelanggan terbabit terus memeras ugut dengan menghantar video pagar rumah disimbah dengan minyak lalu dibakar, dan jika saya tidak membuat pembayaran, saya akan menerima nasib yang sama,” katanya pada sidang media bersama Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong di sini, hari ini.

Loo berkata, isterinya turut menerima pelbagai jenis ugutan berbentuk video dan gambar melalui tiga nombor telefon berbeza yang berdaftar di Singapura termasuk maklumat peribadi keluarganya.

“Saya pun tidak tahu bagaimana pelanggan terbabit tahu semua maklumat termasuk alamat rumah dan maklumat ibu bapa saya,” katanya.

Katanya, dia sudah membuat dua laporan polis namun, pada 24 Disember, situasi menjadi lebih teruk apabila kereta ahli keluarga mangsa dibakar.

“Dalam kejadian kira-kira 4.30 pagi itu, kereta Toyota Vios milik bapa mentua yang diletakkan di luar pagar dibakar.

“Saya juga menemui notis yang ditinggalkan mengatakan kebakaran ini adalah peringatan terakhir kerana saya tidak membayar dan memberi wang seperti yang diminta,” katanya.

Dalam perkembangan lain, seorang pendandan rambut hidup dalam ketakutan apabila ceti haram (along) bertindak menyimbah cat merah di kawasan kediaman, selain mengugut untuk membakar rumah jika enggan membayar RM50,000.

Menurutnya, dia membuat permohonan pinjaman sebanyak RM5,000 menerusi WhatsApp untuk tujuan peribadi.

“Namun, mereka hanya memberi RM3,000, tetapi saya diminta membayar balik RM7,000.

“Saya bayar nilai yang diminta menerusi tiga transaksi berbeza dalam masa 10 hari kerana takut… tetapi mereka meminta saya bayar lagi sebanyak RM50,000.

“Saya tidak mampu nak bayar, jadi mereka menyimbah cat merah di kawasan kediaman dan mengugut untuk membakar rumah sekiranya tidak membayar wang yang diminta,” katanya.

Sementara itu, Michael Chong berkata, golongan ‘scammer’ ini seperti mencabar undang-undang dengan melakukan peras ugut yang boleh mengancam nyawa.

“Ini adalah modus operandi baharu apabila mereka (scammer) menggunakan peras ugut begini untuk mendapatkan wang daripada mangsa.

“Sekarang ini banyak kes penipuan dalam talian yang sangat berbahaya dan berisiko. Sekiranya nak pinjam duit, pinjamlah di tempat pinjaman duit yang berdaftar,” katanya.

Sumber: HM

Share.

Leave A Reply