Peniaga Industri Penerbangan Terjejas. Ini Tindakan MAHB Buat Ramai Respek

| December 21, 2020 | 0 Comments

Peniaga Industri Penerbangan Terjejas. Ini Tindakan MAHB Buat Ramai Respek | Penularan wabak Covid menyebabkan industri penerbangan terjejas teruk. Ini turut memberi kesan besar terhadap peniaga-peniaga yang sangat berharap dengan industri ini. Ini tindakan MAHB buat ramai respek. Baca selanjutnya.

250+ Peruncit Terima Bantuan Daripada MAHB

Kira-kira 250 peruncit telah menyambut tawaran bantuan di bawah Pakej Bantuan Sewaan yang diumumkan oleh Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) baru-baru ini.

Mereka menyatakan rasa lega terhadap sokongan yang diberikan kepada mereka untuk meneruskan operasi perniagaan masing-masing di lapangan terbang dan membantu meringankan masalah aliran tunai yang mereka hadapi.

Pakej bantuan yang menawarkan rebat sewa sehingga 100% untuk 6 bulan dalam tahun 2020 akan membantu peruncit-peruncit yang terkesan akibat impak kewangan yang berpunca daripada penularan COVID-19.

Menurut MAHB, buat masa ini terdapat kira-kira 90% daripada 335 peruncit di seluruh negara yang telah pun memberikan respon terhadap Pakej Bantuan Sewa yang telah disesuaikan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif MAHB Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata MAHB sedang melaksanakan pelbagai usaha untuk membantu rakan-rakan kongsi lapangan terbangnya berlandaskan kemampuan dan keperluan dalam menggunakan dananya.

Menurut beliau lagi ada juga peruncit yang menolak bantuan tersebut manakala ada juga yang masih belum membuat keputusan.

“Saya berharap kami akan turut menerima sokongan daripada syarikat-syarikat utama yang telah bersama kami sekian lama dan telah membina perniagaan yang berjaya bersama MAHB sejak bertahun-tahun.

“Pakej bantuan sewa kami disesuaikan menurut kehendak dan keperluan mereka,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Selain daripada rebat sewa sepenuhnya untuk tahun 2020, pakej bantuan ini turut disesuaikan untuk menawarkan sewaan istimewa kepada peruncit-peruncit sedia ada berdasarkan kadar pertumbuhan penumpang bermula Januari 2021 dan seterusnya.

Bagi peruncit sedia ada yang telah mendaftar di bawah program penetapan semula komersial, pakej bantuan itu disesuaikan untuk menawarkan rebat sewa 30% bermula Januari 2021, dengan mekanisme bagi membayar pampasan kepada mereka dengan lanjutan kontrak berdasarkan kadar pertumbuhan trafik sebenar.

Sambutan positif telah diterima daripada peruncit-peruncit yang menerima bantuan ini umpamanya Berjaya Food Berhad yang menguruskan Starbucks Malaysia & Brunei, Superstrap+, Gibca Ventures Sdn Bhd, Ban Heang (M) Sdn Bhd, Syidah Company, Sweet Food Convenience Store, Sony, Guardian (KLIA), AD Interact, Noodles, Retail One (Little Malaysia), KLIATV, Talasco Dagang dan Prima Mahir sewaktu Virtual Concessionaires Conference 2020 yang diadakan pada 16 Disember 2020.

Persidangan Concessionaires Conference adalah acara tahunan yang dianjurkan MAHB bagi menawarkan pandangan dan memberikan maklumat berhubung industri peruncitan pelancongan serta berkongsi pelan komersil masa hadapan yang dirancang oleh MAHB.

Persidangan ini telah dilaksanakan secara maya buat kali pertama demi memastikan keselamatan peserta di sebalik penularan COVID-19.

Dengan tema ‘Together We Thrive’, acara maya tersebut telah melibatkan lebih daripada 100 orang wakil daripada kesemua rakan-rakan kongsi peruncitan yang beroperasi di lapangan-lapangan terbang MAHB di seluruh negara.

Sumber: Dagang News

Tags: , , , , ,

Category: SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *