Peniaga Wanita Kerugian RM 18,350 Setelah Diperdaya Ejen Bomoh

| May 11, 2021 | 0 Comments

Peniaga Wanita Kerugian RM 18,350 Setelah Diperdaya Ejen Bomoh |Seorang peniaga wanita mengalami kerugian sebanyak RM 18,350 selepas diperdaya oleh seorang wanita yang kononnya ejen kepada seorang bomoh yang berkebolehan membantunya mengutip hutang lalu.

Peniaga Wanita Kerugian RM 18,350 Setelah Diperdaya Ejen Bomoh

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa berusia 25 tahun itu mendakwa berkenalan dengan suspek, dikatakan berasal dari Sarawak pada 16 April lalu di kedai kosmetiknya di sini.

Menurut beliau, mangsa mendakwa hubungan mereka semakin rapat apabila sering bertemu sehingga dia menceritakan masalah hutang yang dihadapinya dengan seorang lelaki yang tidak menjelaskan bayaran selepas mengambil barang.

Katanya, suspek kemudian memberitahu mangsa bahawa dia mengenali seorang bomoh dan mengajaknya untuk berubat bagi melembutkan hati pemiutang itu supaya segera memulangkan wang.

Suspek kemudiannya mengarahkan mangsa untuk membayar RM 1,500 secara tunai pada 15 April lalu sebagai upah kepada bomoh itu disusuli dengan pelbagai pembayaran lain termasuk menyerahkan seutas gelang tangan emas dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM18,350.

Tambahnya, mangsa mengatakan bahawa dia menyerahkan gelang emas dan wang kepada suspek atas dasar percaya memandangkan suspek semakin kerap datang ke kedainya, selain dijanjikan barangan kemas dan sebahagian daripada wang itu akan dipulangkan selepas tamat ‘proses perubatan’.

Mangsa bagaimanapun mula merasa curiga apabila orang yang berhutang dengannya masih tidak menjelaskan bayaran selepas hampir sebulan berubat, menyebabkan dia mula meminta suspek memulangkan semua gelang dan wang miliknya.

Walaubagaimanapun, suspek dikatakan bukan setakat enggan berbuat demikian, malah mengugut mangsa untuk menghantar santau dan memberitahu meletakkan bungkusan kain berwarna kuning dan merah dalam kedai mangsa.

Menurutnya, mangsa yang bimbang dengan ugutan itu kemudiannya mencari bungkusan kain terbabit dan apabila dibuka ia mendapati kotak terbabit hanya berisi cebisan kotak.

Mohd Wazir berkata, mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Sumber: Berita Harian

Tags: , , , , , , , ,

Category: JENAYAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *