Pegawai dan kakitangan awam perlu menegur sebarang keputusan dibuat Menteri termasuk Perdana Menteri, jika ia didapati melanggar peraturan.

'Penjawat Awam Boleh Tegur Jika Arahan Tak Ikut Peraturan'- Ujar PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pegawai yang melaksanakan arahan yang mengandungi apa disifatkan sebagai keterlanjuran tidak boleh dipersalahkan berikutan ia diminitkan oleh menteri menyebabkan mereka mematuhinya.

“Saya tekankan penguatkuasaan. Apa yang saya pelajari terutama di Kementerian Kewangan, melihat banyak fail banyak keterlanjuran.

“Nak salahkan pegawai kalau minit daripada menteri apatah lagi Perdana Menteri dia patuh.

“Tetapi saya sudah beri arahan jelas kalau ada minit daripada Perdana Menteri sendiri pun kalau dianggap melanggar peraturan dan undang-undang, sekurang-kurangnya saya dimaklumkan terlebih dahulu. Apa lagi kalau dalam kalangan pegawai di pejabat saya, pejabat Timbalan Perdana Menteri (dan) pejabat Menteri,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri, di Dataran Putra, hari ini.

Yang turut hadir Tan Sri Mohd Zuki Ali, dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Jangan amal budaya selesa, tekad laksana perubahan untuk negara

Perdana Menteri turut mengingatkan anggota perkhidmatan awam untuk tidak mengamalkan budaya selesa dalam sebarang urusan dan pentadbiran negara.

Sebaliknya mereka perlu mempunyai keinginan dan berhasrat untuk membawa perubahan kepada sistem pentadbiran dan urusan, tanpa mengetepikan kekuatannya.

Beliau berkata, budaya selesa apabila sudah memegang sebarang jawatan utama, baik sebagai menteri mahupun sebagai pegawai kanan kerajaan perlu diubah.

“Budaya yang selesa, …dah jadi menteri atau dah jadi Perdana Menteri, dah jadi Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) misalnya… Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP). Saya sebut jawatan yang belum diisi jadi senang. Esok bila dah lantik sebut jadi sensitif pula.

“Jadi sudah mantap, sistem yang sudah bergerak selama puluhan tahun tapi harus ada kesediaan, ‘humility’ untuk mengiktiraf ada kekuatannya tetapi apabila kita letak tokoh baharu harus ada hasrat untuk membawa perubahan,” katanya.

Anwar berkata, keinginan untuk melakukan perubahan itu wujud dalam semua agama termasuk Islam.

Beliau berkata, Rasulullah SAW sendiri adalah tokoh yang melakukan transformasi dalam pentadbirannya.

Justeru, Perdana Menteri berkata, adalah tidak benar untuk anggota pentadbirannya menyatakan perlu ada budaya selesa yang memberi kesan negatif kepada mereka.

Sumber: BH

Berita Berkaitan..

PM Minta Hentikan Amalan ‘Punggah’ Kekayaan Negara

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tidak mahu kepincangan politik berlarutan, manakala kedudukan dan jawatan sebagai pemimpin bukan suatu kesempatan untuk ‘memunggah’ kekayaan negara.

PM Minta Hentikan Amalan 'Punggah' Kekayaan Negara

Perdana Menteri berkata, ada serangan terhadap pentadbirannya yang mendakwa seolah-olah mereka dalam kerajaan kini terpalit hal sedemikian.

“Saya nak sebut bahawa sikap kita jelas. Negara ini negara ada hukum. Badan penguat kuasa diberi kuasa memantau.

“Justeru (perlu diamalkan) budaya kesederhanaan, jangan ada pembaziran, memantau semua GLC (syarikat berkaitan kerajaan) dan perbelanjaan mereka itu, kita akan teruskan.

“Tapi saya nak nasihatkan rakan saya yang lain, yang bercakap soal bersih dan hari-hari menyerang beberapa tokoh dalam Kerajaan Perpaduan. Apatah lagi orang yang pernah menjadi Menteri Kewangan (dan) Perdana Menteri yang tatkala mereka berkuasa itu, bukan dipunggahnya ratusan juta ringgit tetapi bilion ringgit dipunggah,” katanya ketika menyampaikan perutusan Tahun Baharu 2023 di Masjid Putra, di sini, malam ini.

Perdana Menteri menghadiri program Munajat Ambang Tahun Baharu 2023 di masjid sama yang turut disertai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Anwar berkata, pentadbirannya memberi jaminan akan sekurang-kurang memulangkan sebahagian daripada dana telah diselewengkan sebelum ini, kepada rakyat kerana jumlahnya yang besar.

Katanya, biarpun ada sesetengah pihak meminta beliau agar melupakan perkara berkenaan, ia bukanlah perkara peribadi yang boleh dimaafkan.

Beliau berkata, jika ia membabitkan perkara peribadi, kesalahan itu boleh dan sudahpun dimaafkannya.

Namun, katanya, jika perkara berkenaan berterusan, beliau akan mengambil tindakan terhadapnya.

“Namun, kesannya kepada rakyat dan harta rakyat. Bukan ada kuasa seorang Perdana Menteri untuk melepaskan puluhan ratus atau bilion ringgit yang dipunggah tatkala mereka berkuasa,” katanya.

Justeru, Anwar berkata, pihak berkuasa terbabit perlu memikirkan cara untuk memastikan rakyat miskin tidak terpukau dengan janji dan slogan yang menyatakan seseorang itu bersih tetapi sebenarnya terpalit dengan ratusan juta ringgit kekayaan yang ‘dipunggah’ sebelum ini.

Beliau berkata, menjadi tugas bersama semua pihak untuk menjamin negara selamat dengan martabatnya dapat ditingkatkan, sekali gus menghentikan amalan salah sedemikian.

Sumber: BH

Share.

Leave A Reply