Pensyarah Lemas, Kenderaan Terbabas Ke Dalam Sungai | Malang buat seorang pensyarah di Institut Pendidikan Guru Pengkalan Chepa apabila dia ditemukan lemas selepas kenderaan yang dipandunya terbabas dan jatuh ke dalam sungai di jambatan Kampung Paloh, Chicha Tinggi, Pasir Mas, semalam.
Mangsa, Abdullah Derahman, 56, yang berasal dari Pasir Tumboh, Kota Bharu, memandu pikap Ford Ranger berwarna hitam sendirian sebelum dia dipercayai terbabas.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata pihaknya menerima laporan itu pada jam 5.50 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, hasil siasatan, mangsa dalam perjalanan dari Kampung Paloh menuju ke Chicha Tinggi dipercayai gagal mengawal kenderaan miliknya dan terlanggar besi penghadang jambatan sebelum terbabas masuk ke dalam sungai.
Mangsa kemudian ditemui meninggal dunia di lokasi kejadian dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Pasir Mas (HPM) untuk dibedah siasat dan mangsa telah disahkan meninggal akibat lemas.
Jelasnya, Kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: Berita Harian