Penulis Ditahan Angkara Mengeluarkan Kata-Kata Kesat Kepada Polis| Polis telah memberkas seorang lelaki berusia 49 tahun kerana mengeluarkan kata-kata kesat kepada pegawai polis yang sedang menjalankan tugas di perkarangan sebuah kondominium di Damansara Perdana, di sini, baru-baru ini.

Penulis Ditahan Angkara Mengeluarkan Kata-Kata Kesat Kepada Polis

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid memberitahu bahawa lelaki tersebut dipercayai seorang penulis telah ditahan ketika sedang meminum minuman keras secara berseorangan kira-kira jam 10:30 malam sewaktu pihak polis mengadakan rondaan cegah jenayah, di sini.

Semasa anggota polis yang berada di lokasi sedang melakukan pemeriksaan terhadap lelaki terbabit, lelaki tersebut tidak mahu memberikan kerjasama dan bertindak tidak berpuas hati kepada pihak polis kerana telah membuat penahanan terhadap dirinya.

Setelah itu, suspek tersebut dikatakan telah bertindak di luar kawalan dengan meninggikan suara kepada pihak polis sebelum dikatakan mengeluarkan kata-kata kesat berbaur penghinaan terhadap pihak polis yang sedang bertugas.  Suspek turut dilaporkan merakam video sewaktu pihak polis melakukan pemeriksaan terhadap dirinya dan mengugut untuk menularkan video tersebut di Facebook menurut Mohamad Fakhrudin.

Suspek kini ditahan reman selama dua hari susulan kes tersebut dan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Dalam kejadian yang berasingan, polis turut menangkap dua orang lelaki dipercayai warga asing kerana bertindak memecut kenderaan semasa polis sedang melakukan pemeriksaan di Jalan Persiaran Tropicana kira-kira jam 1.45 pagi baru-baru ini.

Kereta jenis Honda yang dipandu dua orang warga asing tersebut sempat memecut laju namun berjaya diberkas di Jalan PJU 1a/42b Damansara. Siasatan awal mendapati, suspek melarikan dari pemeriksaan kerana tidak mempunyai lesen memandu dan pasport.

Kedua-dua suspek yang berudia 35 tahun serta 39 tahun kini telah direman selama empat hari berikutan kes tersebut yang disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Sumber: Astro Awani

Share.

Leave A Reply