Penumpang Dikhuatiri Lemas Bot Putus Dua Langgar Tongkang | Lima, Peru – Kira-kira 70 orang dikhuatiri lemas termasuk 20 kanak-kanak apabila sebuah bot membawa 80 penumpang putus dua selepas bertembung dengan sebuah tongkang di Sungai Amazon, Peru, lapor akhbar The Sun semalam.

Menurut media tempatan, dalam kejadian pada pukul 4.20 pagi (waktu tempatan) itu, bot tersebut dilaporkan mengambil 80 penumpang pada pukul 1 pagi dari sebuah gereja selepas mereka menghadiri satu upacara keagamaan.

Kesemua mereka ingin pulang ke pekan Yurimaguas.

Menurut seorang mangsa terselamat, bot yang mereka naiki bergerak perlahan bagi mengelakkan sebarang pelanggaran.

Bagaimanapun, tongkang yang membawa minyak itu tidak mempunyai lampu dan keadaan tersebut menyebabkan pelanggaran berlaku.

“Ia amat gelap dan kami tidak nampak apa-apa. Dalam beberapa saat selepas bot berlanggar, kami terus terhumban ke dalam sungai.

“Kebanyakan daripada mangsa yang tidak boleh berenang ialah kanak-kanak. Kami berada di bawah bot, namun berjaya menyelamatkan diri.

“Saya kehilangan isteri dan seorang anak lelaki berusia tujuh tahun,” kata mangsa yang identitinya tidak didedahkan.

Susulan insiden itu, tentera laut Peru dan pasukan bomba dikerah ke lokasi kejadian bagi menjalankan usaha mencari dan menyelamat yang turut dibantu oleh penduduk setempat.

Sumber : Kosmo

Share.

Leave A Reply