Penumpang Pesawat Cemas Atas Kejadian. Ini Ceritanya. | Lebih 120 penumpang sebuah pesawat diarah keluar serta-merta sejurus tiba di lapangan terbang di New York selepas satu pengecas telefon bimbit terbakar dan mula mengeluarkan asap, lapor portal berita MailOnline.

Pesawat JetBlue yang berlepas dari Bridgetown, Barbados tersebut ketika itu baru tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa JFK menjelang sambutan Krismas.

Pentadbiran Aviasi Persekutuan (FAA), JetBlue dan Pihak Berkuasa Lapangan Terbang New York dan New Jersey berkata, pesawat berkenaan sedang begerak ke pintu di Terminal 5 sekitar pukul 8.50 malam (waktu tempatan) ketika pengecas telefon bimbit membebaskan asap memenuhi kabin.

Kru penerbangan JetBlue 662 dengan pantas memadamkan kebakaran kecil itu namun, tujuh penumpang dilaporkan mengalami cedera ringan. Ia termasuk sesak nafas kerana terhidu asap serta lebam pada siku kerana saling bertolakan ketika cuba keluar dari pesawat.

Pasukan tindak balas pertama dan kru pesawat memindahkan 67 penumpang dari pesawat Airbus A320 itu menggunakan sistem gelongsor kecemasan manakala 60 lagi keluar mengikut pintu biasa.

Seorang penumpang yang duduk di barisan hadapan berkata, kapten pesawat bertindak pantas sejurus asap memenuhi ruang kabin.

Penumpang berkata, kapten pesawat dengan pantas mengambil pemadam api dan bertindak dengan pantas untuk mengawal kebakaran.

Penumpang juga menyatakan beliau amat hebat dan berjaya memadamkan api.

Sementara itu, jurucakap JetBlue berkata, syarikat tersebut sedang menyiasat insiden itu berdasarkan penyelarasan pihak FAA dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB).

Sumber: Kosmo

 

Artikel Lain

6 Terkorban Akibat Pesawat Pejuang Rusia Terhempas

6 Terkorban Akibat Pesawat Pejuang Rusia Terhempas | Sekurang-kurang enam orang maut, manakala 19 lagi cedera selepas pesawat pejuang tentera Russia terhempas pada sebuah bangunan pangsapuri di sini, lapor agensi berita Tass.

Menurut agensi berita yang memetik pegawai tempatan,  dalam kejadian tersebut, enam orang dilaporkan hilang,

Saluran berita tentera Zvezda menyiarkan video menunjukkan letupan pesawat pejuang pengebom jarak sederhana supersonik Sukhoi Su-34 ketika pesawat tersebut menjunam ke arah pangsapuri.

Pesawat pejuang tersebut terhempas ke kawasan perumahan namun kedua-dua juruterbang telah berjaya menyelamatkan diri mereka,
Kejadian ini menyebabkan kebakaran besar di beberapa tingkat bangunan pangsapuri sembilan tingkat tersebut.
Sekurang-kurangnya 17 pangsapuri terjejas dan kira-kira 100 penduduk dipindahkan ke tempat tinggal sementara.

Menteri Kecemasan Persekutuan, Alexander Kurenkov memaklumkan bahawa enam orang terkorban, manakala enam lagi hilang seperti dilaporkan oleh Tass.

Katanya, Presiden Russia, Vladimir Putin segera mengarahkan beliau bergegas ke lokasi nahas selepas mendapat maklumat mengenai insiden itu.

Rakaman visual dari lokasi menunjukkan sebahagian besar pangsapuri sembilan tingkat itu terbakar kerana nahas terbabit dan pihak berkuasa tempatan memaklumkan kebakaran sudah dipadamkan.

Gabenor Wilayah Krasnodar, Veniamin Kondratyev menafikan tentang laporan tempatan yang mendakwa pesawat itu membawa muatan berisi peluru.

“Jika ia berlaku, hanya separuh bangunan mungkin berada di sini,” katanya kepada pemberita lapor RIA.

Kira-kira 250 penghuni dipindahkan termasuk 40 kanak-kanak, kata pihak berkuasa.

Dalam pada itu, RIA memaklumkan bahawa nahas berlaku ketika pesawat dalam penerbangan latihan dari lapangan terbang tentera.

Kementerian Pertahanan menyatakan bahawa juruterbang terlebih dulu memaklumkan mengenai enjin pesawat yang terbakar ketika beliau memulakan penerbangan dan mencetuskan kebakaran apabila merempuh bangunan tersebut.

Jawatankuasa Penyiasat Russia yang menangani jenayah serius mengatakan bahawa pihaknya akan membuka kertas siasatan dan menghantar pasukan ke lokasi kejadian.

Sementara itu, Kremlin menyatakan Putin sudah dimaklumkan mengenai nahas itu dan beliau sudah mengarahkan segala bantuan diberikan kepada mangsa.

Pihak berkuasa masih mengenal pasti punca sebenar kejadian namun jurucakap jawatankuasa penyiasatan Rusia dalam pada itu mengesahkannya sebagai kes jenayah.
Sumber : Berita Harian

Share.

Leave A Reply