Penunggang Motosikal Maut Dipercayai Langgar Kerbau

| June 8, 2021 | 0 Comments

Penunggang Motosikal Maut Dipercayai Langgar Kerbau |  Seorang lelaki berusia 25 tahun maut selepas moto yang ditunganginya merempuh seekor kerbau di Jalan Kionsom, Inanam, Kota Kinabalu, malam tadi.

Penunggang Motosikal Maut Dipercayai Langgar Kerbau

Dalam kejadian pada jam 7.30 malam itu mangsa, Muhizan Shazry Simon yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss bersendirian dikatakan dalam perjalanan dari arah pekan menuju ke ke Kampung Kionsom.

Bagaimanapun, sebaik sahaja mangsa tiba di lokasi kejadian ia dipercayai gagal mengelak kerbau yang melintas jalan secara tiba-tiba sehingga menyebabkan mangsa terbabas.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian menerusi talian kecemasan MERS 999.

Katanya, menurut laporan yang diterima daripada orang awam itu mendakwa berlaku kemalangan di jalan berkenaan membabitkan sebuah motosikal dan juga seekor kerbau dan sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, mangsa didapati terbaring dalam keadaan parah.

Saksi mendakwa melihat seekor kerbau yang cedera di tengah jalan namun haiwan berkenaan sudah beredar dari lokasi kemalangan selepas itu.

Mohd Zaidi berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Likas pada jam 8.03 malam.

Tambahnya, keadaan di tempat kejadian gelap berikutan tiada lampu jalan dan permukaan jalan sedikit cerun menuruni bukit.

Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sumber: Metro

Tags: , , , , , , ,

Category: KEMALANGAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *