Suspek kes seludup diesel yang disyaki melanggar seorang koperal polis sehingga mangsa parah ketika mengelak daripada ditahan semalam, direman selama enam hari bermula hari ini.

Penyeludup Langgar Polis Hingga Koma. 'Ini' Hukuman Bakal Dihadapi Suspek

Lelaki berusia 45 tahun itu yang berbaju lokap dibawa ke Mahkamah Sesyen Kulim, di sini, kira-kira jam 9 pagi sebelum permohonan reman dikemukakan polis dibenarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah, Mirza Mohamed.

Suspek berjaya ditahan polis jam 12 tengah hari semalam di Butterworth, kira-kira tiga jam selepas dia yang memandu pacuan empat roda dipercayai melanggar anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang mengejarnya di Jalan Kulim-Serdang.

Kejadian kira-kira jam 9.15 pagi itu menyebabkan Koperal Muhamad Khairul Syafiq Ahmad, 31, yang bertugas di Balai Polis Kulih Hi-Tech parah di kepala dan mengalami pendarahan dalam otak.

Suspek kemudian memecut kenderaannya dengan memandu secara melulu sebelum berjaya ditahan sepasukan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim yang turut mendapat bantuan anggota IPD Seberang Prai Tengah (SPT).

Polis percaya suspek terbabit dalam aktiviti penyeludupan minyak diesel apabila kenderaannya didapati diubah suai dengan meletakkan tangki minyak di belakang. Pemeriksaan lanjut mendapati dia memiliki tiga rekod jenayah, manakala ujian air kencing mendapati dia positif dadah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh, berkata anggota polis yang terbabit dalam kejadian itu belum sedarkan diri dan masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.

Katanya, kita turut mengadakan solat hajat buat anggota berkenaan di surau balai polis trafik malam tadi bagi mendoakan kesejahteraan dan kesembuhan untuk mangsa.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply