Sesi soal balas pihak pendakwaan ke atas Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dihadapinya berkaitan dana Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi hari ini, bermula tegang.

Perbicaraan Akalbudi: "Setiap Ahli Politik Sangat Perlukan Wang"-Ujar Zahid Hamidi

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran memulakan sesi soal balas dengan mengimbas kembali pembelaan Ahmad Zahid semalam, yang disifatkannya cerita kisah suka duka politik dan belakang tabir yang tidak semuanya diketahui oleh kalangan orang politik.

Pada ketika itu, Raja Rozela bertanyakan kepada Ahmad Zahid apa yang ditulis oleh bekas timbalan perdana menteri itu di dalam kandang saksi, dan selepas tiga kali mengulang soalan sama, Ahmad Zahid menjawab, “(menulis) soalan.”

Ketika Raja Rozela bertanyakan soalan mengenai prinsip undang-undang yang menetapkan semua orang tertakluk kepada undang-undang yang sama tanpa mengira miskin atau kaya, Ahmad Zahid menjawab beliau bersetuju dengan kenyataan itu bagaimanapun menjelaskan, bukan membabitkan tuduhan terpilih.

Raja Rozela bagaimanapun berkata, Ahmad Zahid hanya perlu menjawab ‘ya’ atau ‘tidak’ dan tidak perlu memberikan penjelasan.

Ahmad Zahid bagaimanapun dengan tegas berkata; “Itu hak saya untuk jawab.”

Keadaan itu ditenangkan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang memberitahu Ahmad Zahid bahawa beliau akan diberi peluang oleh peguamnya untuk memberikan penjelasan.

Raja Rozela: Jika ahli politik dituduh , antara alasan diberikan adalah ia konspirasi berbaur politik untuk menjatuhkan seseorang ahli politik. Katakan tukang kebun sekolah bila dituduh tidak mungkin dia boleh bagi alasan sama.

Ahmad Zahid: Kalau tukang kebun itu adalah ketua cawangan atau pemegang jawatan parti politik, mungkin keadaan sama berlaku kepada tukang kebun itu.

Raja Rozela: Soalan saya, antara ahli politik dan tukang kebun dituduh di bawah perkara sama, mungkin ahli politik saja bersandar kepada alasan itu (konspirasi).

Sequerah: Pendakwaan boleh memasukkan isu itu dalam hujahan.

Raja Rozela: Kamu melabelkan kes ini sebagai berbaur politik semata-mata kamu ahli politik?

Ahmad Zahid: Ya

Raja Rozela: Walhal sepanjang beberapa tahun kes ini berjalan , tiada keterangan dikemukakan pendakwaan yang boleh dikaitkan ia bermotif politik selain daripada kamu adalah ahli politik?

Ahmad Zahid: Dari segi pendakwaan atas kertas memang tidak, tetapi saya tahu sangat ia bermotifkan politik.

Raja Rozela: Soalan saya sangat spesifik

Collin: Saya rasa biar beliau beri penjelasan.

Ahmad Zahid: Keterangan semalam itu hakikat sebenar berlaku pada saya dan ahli politik lain. Dari segi tuduhan saya setuju tetapi daripada segi perjalanan kes ini, saya tidak setuju.

Mengimbas keterangan Ahmad Zahid semalam yang menyatakan mengenai penyelewengan tiga ahli politik, Raja Rozela berkata, isu politik dan wang tidak boleh dipisahkan dan bertanyakan sama ada ia munasabah atau tidak kenyataan itu.

Ahmad Zahid menjawab; “Setiap ahli politik, mana pun seseorang itu sangat memerlukan wang untuk melaksanakan aktiviti politik, wang bukan segalanya tetapi segalanya memerlukan wang.

Sementara itu, Ahmad Zahid tidak bersetuju dengan cadangan bahawa penipuan, rasuah dan sogokan semakin berleluasa di negara ini.

Raja Rozela kemudian mencadangkan bahawa Ahmad Zahid mungkin tidak membaca artikel Wall Street Journalist yang meletakkan Malaysia pada ranking pertama dalam indeks rasuah dan paling ‘korup’ di dunia.

Raja Rozela: Sedih dengar tu.

Ahmad Zahid: Saya baca tajuk dan sepintas lalu.

Raja Rozela. Ada kebenaran dalam artikel itu?

Ahmad Zahid: Tulisan sebegini pada hemat saya berdasarkan dua elemen iaitu indeks dan persepsi. Dalam hal ini, persepsi lebih diutamakan berbanding indeks sebenar.

Raja Rozela: Tidak kira ia persepsi atau indeks, ia masih membimbangkan?

Ahmad Zahid: Saya setuju ia masih membimbangkan

Perbicaraan Bakal Bersambung Petang Ini..

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply