KOTA BHARU – Seorang pelajar lelaki tingkatan empat memberi alasan hanya mahu keluar menyambut tahun baharu 2023 selepas dia ditangkap bersama seorang remaja perempuan berusia 18 tahun di dalam bilik sebuah hotel bajet di sini pagi tadi.

Kedua-dua remaja itu dicekup kira-kira pukul 4 pagi semasa Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheaik) menjalankan Operasi Ambang 2023.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah Jaheaik, Mohd. Fadzuli Mohd. Zain berkata, anggota penguat kuasa mendapati kedua-dua remaja disyaki duduk berdua-duaan di bilik hotel dalam keadaan yang mencurigakan.

Menurutnya, mereka memberi alasan mahu keluar untuk menyambut tahun baharu 2023.

“Mereka telah ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 50 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 kerana kesalahan khalwat yang menimbulkan syak dan bertentangan dengan hukum syarak.

“Kedua-dua remaja itu boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Fadzuli berkata, seramai 15 orang anggota penguat kuasa bersama empat pegawai Jaheaik menyertai operasi yang bermula pada pukul 4 petang semalam dan berakhir kira-kira pukul 4.30 pagi di sekitar bandar ini.

Menurutnya, seramai 11 orang wanita diberi notis untuk hadir khidmat nasihat kerana berkelakuan tidak sopan manakala satu kes diberi amaran keras.

“Fokus utama operasi itu adalah untuk memantau dan menyedarkan masyarakat berkenaan kesalahan syariah.

“Jaheaik juga mengedarkan risalah berkaitan kesalahan syariah kepada orang awam di pasar raya dan tempat tumpuan ramai untuk memberi kesedaran kepada masyarakat,” katanya.

Sumber: Kosmo

 

Baca Juga: Wanita Mengandung 3 Bulan Ditangkap Khalwat

Sungai Petani: Wanita hamil tiga bulan antara tujuh pasangan dicekup berkhalwat dalam operasi dilakukan Pejabat Agama Daerah Kuala Muda sempena Malam Tahun Baru 2023 di sekitar daerah ini, tengah malam tadi.

Dalam operasi itu, berusia 20an itu turut mengaku pernah terlanjur malah mempunyai dua anak hasil hubungan sulitnya dengan pasangan yang berlainan.

Dalam serbuan di sebuah hotel bajet di Padang Temusu kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, wanita berkenaan ditahan bersama pasangan yang juga berusia 20-an.

Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Mohd Noor Ismardi Ismail berkata, wanita yang belum berkahwin itu mengaku sedang hamil tiga bulan dan dua anaknya yang masih kecil itu dikatakan kini berada dalam jagaan keluarga.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing wanita itu dan pasangannya mendapati mereka positif dadah malah mereka turut gagal menunjukkan Mykad apabila diminta dan memberi alasan hilang.

“Dalam pada itu, dalam serbuan berasingan, sepasang kekasih didapati berpura-pura tidur sewaktu serbuan dilakukan di sebuah hotel di bandar raya ini sekitar jam 1.06 pagi tadi.

“Berikutan itu, anggota penguat kuasa terpaksa menggunakan kunci pendua selepas mengetuk pintu bilik beberapa kali disebabkan pasangan itu enggan membukanya namun gagal apabila pintu dikunci dari dalam.

“Pihak kami akhirnya berjaya membuka pintu bilik berkenaan dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat seorang lelaki berpura-pura tidur di atas katil manakala pasangannya tidur di bawah,” katanya.

Mohd Noor Ismardi berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati, mereka mengaku sudah bertunang dan sedang mengikuti pengajian di peringkat diploma di sebuah kolej di Perak.

Katanya, mereka memberi alasan datang ke Sungai Petani untuk menyambut Tahun Baru 2023.

“Kesemua tujuh pasangan yang ditahan dalam operasi malam tadi disertai 50 anggota dari Pejabat Agama Daerah Kuala Muda dan JHEAIK, Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah, Cawangan Penyiasatan Khas Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Skuad Badar dan imam serta ahli jawatankuasa masjid.

Mohd Noor Ismadi berkata, kesemua yang ditahan kemudian dibawa ke balai polis berhampiran untuk laporan tangkapan dan diminta untuk hadir mengikut tarikh ditetapkan bagi siasatan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat yang memperuntukkan denda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sumber: KMN

Share.

Leave A Reply