Perompak Lepaskan Tembakan, Larikan Duit Dari Bank

| April 22, 2020 | 0 Comments

Perompak Lepaskan Tembakan, Larikan Duit Dari Bank | Seorang penjenayah bersenjatakan pistol melepaskan sedas tembakan sebelum melarikan RM3,716 dalam kejadian rompakan membabitkan sebuah bank di Laman Seri, Seksyen 13 di Shah Alam, 2.45 petang hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, suspek yang memakai penutup hidung dan mulut hitam melepaskan tembakan pada pintu laluan masuk ke kaunter juruwang.

“Suspek seterusnya memaksa pekerja bank menyerahkan kesemua wang yang ada sebelum melarikan diri.

“Ketika kejadian, empat pekerja dan seorang pengawal keselamatan bertugas namun semuanya selamat,” katanya pada kenyataan.

Menurut Baharudin, pihaknya turut menemui satu kelongsong peluru dan sebutir anak peluru di lokasi.

“Suspek yang juga lelaki memakai ‘windbreaker’ hijau gelap yang menutup bahagian kepala.

“Suspek juga bertubuh kurus dan tinggi. Usaha mengesannya masih berjalan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjatapi (penalti lebih berat) 1971 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Asisten Superintendan Chua Cheong Kheow (Pegawai Penyiasat Kanan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Shah Alam) di talian 019-4217868,” katanya.

Sumber : Harian Metro

Tags: , , , , ,

Category: JENAYAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *