Perpaduan Tak Wujud Jika Sistem Pendidikan Tidak Diubah. Ini Sebabnya. | KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menganggap tiada perpaduan di Malaysia walaupun negara terdiri daripada masyarakat majmuk berikutan terlalu banyak sekolah pelbagai aliran.

Perpaduan Tak Wujud Jika Sistem Pendidikan Tidak Diubah. Ini Sebabnya.

Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) berkata, usaha menyatukan masyarakat majmuk digagalkan apabila terlalu banyak sekolah diwujudkan mengikut kaum termasuk sekolah Cina dan Tamil.

“Kita sudah Merdeka lebih 60 tahun, kadang-kadang kita cakap soal perpaduan, mana ada perpaduan dalam negara kita, dari awal kita pecah-belah perpaduan minda anak-anak kita.

“Ada sekolah kebangsaan Melayu, ada sekolah Cina, ada sekolah Tamil, ini perpaduan apa, kita pecah dan perintah mereka awal-awal lagi. Kita bercakap soal perpaduan sana sini tapi pada masa sama kita pecah-belah anak kita di bawah,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2022 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perpaduan di Dewan Rakyat.

Sementara itu, wakil pembangkang bangkit menyuarakan rasa tidak puas hati dengan kenyataan Bung yang tidak setuju dengan sekolah berasingan mengikut majoriti kaum, dipercayai merujuk kepada sekolah vernakular.

“Kita semua pecah, Umno, MIC, MCA pecah juga,” kata wakil pembangkang.

Bung kemudian menyifatkan wakil pembangkang yang tidak setuju dengan pandangannya sebagai penyangak.

Dalam ucapannya Bung mencadangkan kerajaan mewujudkan sekolah perpaduan dan sekolah Keluarga Malaysia dengan memperkenalkan pelbagai mata pelajaran dan ia boleh dipilih oleh pelajar mengikut bangsa dan agama masing-masing.

“Negara kita ini seperti telur dihujung tanduk, kita negara majmuk kita lihat apa berlaku di Bosnia satu bangsa lain-lain agama tapi mereka boleh sembelih saudara mereka di sebelah rumah, jangan jadi macam itu, kita ini ada Melayu, Cina, India, Sabah, Sarawak sepatutnya perpaduan seharusnya diperkuat,” katanya.

Chang Lih Kang (PH-Tanjung Malim) kemudian bangkit mencelah bertanyakan sama ada Bung bersetuju peruntukan sama rata kepada semua sekolah diberikan sebagai tanda perpaduan.

Bung kemudian menyifatkan Chang sebagai gagal memahami apa yang ingin disampaikannya.

“Tanjung Malim tak tangkap hujah saya, saya kata kita adakan satu sekolah di mana ada semua aliran Melayu, Cina, India dan lain-lain bangsa di satu tempat, satu bumbung dan peruntukan diberikan kepada satu sahaja di sekolah perpaduan,” katanya.

Sumber: FMT

Share.

Leave A Reply