PGA Gagalkan Cubaan Bawa Masuk PATI Warga Rohingya | Meskipun pelbagai tangkapan telah pun dilakukan oleh pihak berkuasa dalam mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) namun kebanyakkan dari mereka tetap berdegil dan cuba untuk memasuki negara ini. Bagaimanapun, kecekapan anggota keselamatan yang ketat menyebabkan kebanyakkan mereka tidak dapat memasuki negara ini.
Kuala Lumpur: Tiga lelaki yang dipercayai tekong darat yang berperanan membawa masuk pati ditahan Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam Op Benteng Covid semalam.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA Superintendan Rizal Mohamed berkata, mereka terdiri daripada dua warga Myanmar dan seorang rakyat tempatan berusia 28 hingga 39 tahun.
Katanya, pihaknya menahan dua kenderaan dalam keadaan mencurigakan di Sungai Tekali, Hulu Langat, Selangor.
Hasil pemeriksaan yang dijalankan pihak polis menemui seorang lelaki dan empat wanita warga Rohingnya berumur 14 hingga 19 tahun.
Jelas beliau, kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah dan dipercayai baru masuk ke negara ini menerusi jalan tidak diwartakan.
Kesemua mereka kemudiannya dibawa ke Balai Polis Kajang untuk tindakan lanjut di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Akta Imigresen 1963.
Katanya, pihaknya turut merampas dua kenderaan dan telefon bimbit pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM52,500.
Tambahnya, kesemua yang ditahan juga akan menjalani ujian saringan Covid-19 dan pihaknya dalam masa yang sama menyeru masyarakat agar memberi kerjasama dan menyalurkan maklumat kepada polis berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.
Sumber: Metro