Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang sedang dilaksanakan di seluruh negara kecuali Sarawak, yang dijadualkan berakhir pada 4 Feb ini, dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 18 Februari depan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu diambil atas penilaian risiko dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menyaksikan trend peningkatan kes di semua negeri.

Perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini, katanya pada sidang media perkembangan PKP di Wisma Pertahanan di sini, hari ini.

“KKM mengesahkan kes harian di kesemua negeri-negeri ini masih menunjukkan trend peningkatan dengan kadar positivitinya dalam kluster adalah 20 hingga 40 peratus, malah penularan sporadik dalam komuniti juga tinggi yang melibatkan warga negara dan juga yang bukan warganegara.

“Sidang khas hari ini bersetuju untuk melanjutkan PKP 2.0 di seluruh negara bermula dari 5 hingga 18 Feb kecuali kawasan-kawasan di Sarawak yang telah diisytiharkan di bawah PKP Bersyarat (PKPB),” katanya.

 

Sumber : Bernama

Share.

Leave A Reply