PM Adakan Pertemuan Dengan Jokowi Di Istana Bogor | Satu pertemuan rasmi bakal berlangsung hari ini melibatkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas beliau dikatakan dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Indonesia dijadual diberikan sambutan rasmi di Istana di Bogor, kira-kira 60 kilometer (km) dari Jakarta.

PM Adakan Pertemuan Dengan Jokowi Di Istana Bogor

Melalui satu kemas kini di Twitter rasmi, Perdana Menteri berkata: “Saya akan mengadakan pertemuan dengan (Presiden Indonesia) Bapak (Joko Widodo) Jokowi untuk membincangkan beberapa perkara demi kepentingan rakyat Malaysia-Indonesia.”

Menurut laporan Awani, Memorandum Persefahaman dan Perjanjian di antara kedua-dua negara akan dimeterai atas kepaksian hubungan akrab antara dua negara berjiran.

Selain itu, beliau menyifatkan pertemuan ini adalah bertujuan bagi memperkasakan lagi industri pertahanan negara dengan mengadakan lawatan ke pusat kemudahan industri pertahanan yang terdapat di Bandung.

Difahamkan bahawa ini merupakan lawatan pertamanya ke Indonesia sejak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan pada 21 Ogos 2021.

Selepas jamuan negara di istana, Ismail Sabri dilaporkan akan kembali ke hotel penginapannya untuk bertemu dengan pemimpin industri Indonesia, sebelum menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman pada sebelah malam.

Beliau juga dijadual mengadakan dialog dengan diaspora Malaysia semasa majlis makan malam.

Sepanjang lawatan terbabit, Ismail Sabri telah diiringi beberapa menteri seperti Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Kuasa Usaha Kedutaan Malaysia di Indonesia Adlan Mohd Shaffieq.

Sumber: Astro Awani

Share.

Leave A Reply