Hutang negara termasuk liabiliti kini sudah mencecah hampir RM1.2 trilion dan usaha menanganinya wajar disegerakan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PM Beritahu Hutang Negara Sudah Cecah RM1.2 Trillion

Kedudukan hutang negara terkini itu menurut Perdana Menteri sudah mencecah melebihi 80 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ia turut memberi kesan apabila Bajet Defisit akan lebih melebar daripada jangkaan awal iaitu 5.8 peratus daripada KDNK untuk tahun 2022.

“Masalah hutang negara kini sudah mencecah RM1.2 trilion dan jika ia termasuk liabiliti, ia menjadi RM1.5 trilion,” katanya dalam Majlis Dialog Belanjawan 2023 di Kementerian Kewangan, hari ini.

Perdana Menteri berkata, ketika ini kemerosotan ekonomi masih belum reda manakala keadaannya masih malap yang turut terkesan dengan perkembangan antarabangsa global, perang Ukraine-Russia serta pascaCOVID-19.

“Kalau ikut unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sendiri pun, ia (ekonomi) terus menurun.

“Cabaran kita. Masalah-masalahnya ialah, hutang negara sudah mencecah hampir RM1.2 trillion. Ini kenyataan, kerana ada pertikai, kenyataan berubah-ubah.

“Kalau termasuk liabiliti, ia sudah RM1.5 trillion,” katanya.

Berikutan itu, beliau berkata, semua pihak termasuk kepimpinan dan wakil kementerian harus menerima kenyataan itu, bahawa ia bukan lagi urusan biasa selain mereka tidak seharusnya terus selesa.

Sumber: BH

Berita Berkaitan.. 

Kedudukan Malaysia Tarik Pelaburan Kualiti Makin Kukuh

Ekonomi Malaysia berada di landasan yang kukuh untuk menarik pelaburan berkualiti, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Dalam temu bual dengan CNBC pagi ini, beliau berkata walaupun cabaran masih ada disebabkan ketidaktentuan ekonomi global, langkah China untuk membuka semula sempadannya minggu depan memberi petanda baik untuk negara memandangkan China adalah rakan dagang terbesar Malaysia.

“Langkah itu akan membantu eksport dan ekonomi kami. Di dalam negara, usaha yang memfokuskan pada prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam sektor-sektor utama, meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan serta menggerak naik rantaian nilai dalam sektor yang kami amat kukuh juga akan membantu mengurangkan kesan tekanan ekonomi global.

“Malaysia mengunjurkan pertumbuhan empat peratus pada 2023. Angka (pertumbuhan) kami kelihatan baik, inflasi pada empat peratus dan kadar pengangguran pada 3.6 peratus,” katanya.

Menurut Tengku Zafrul, Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar 8.0 hingga 9.0 peratus pada 2022.

Bagi sembilan bulan pertama 2022, ekonomi negara berkembang sebanyak 9.3 peratus, katanya sambil menambah negara mencatat pertumbuhan KDNK sebanyak 14.2 peratus pada suku ketiga 2022 di tengah-tengah permintaan domestik dan luar yang kukuh serta pasaran buruh yang bertambah baik.

Dalam temu bual itu, Tengku Zafrul turut menyatakan beberapa kebimbangan yang mungkin boleh menjejaskan prospek pertumbuhan ekonomi global, antaranya dasar monetari dan fiskal yang lebih ketat, ketegangan global seperti perang Ukraine-Russia yang mengganggu rantaian bekalan serta kapasiti pengeksport dalam memenuhi tuntutan pasaran ESG.

Menteri itu seterusnya berkata, Kerajaan Perpaduan yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim amat komited terhadap penyertaan negara dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), yang berkuat kuasa pada 29 November 2022 di Malaysia.

Menjawab soalan sama ada akan terdapat penilaian semula baharu bagi perjanjian perdagangan 11 anggota itu, Tengku Zafrul berkata bahawa Perdana Menteri sendiri sudah menandatangani semua perjanjian pentadbiran yang diperlukan untuk memastikan eksport dan import dapat diteruskan di bawah perjanjian yang telah diratifikasi.

“Jelas sekali terdapat beberapa isu yang dibangkitkan oleh pelbagai kumpulan dan kami menanganinya dengan mengambil beberapa tindakan untuk mengurangkan beberapa kebimbangan, jadi kami sangat komited untuk menyertainya,” katanya.

Ketika ditanya sama ada apa yang dialami oleh ringgit sudah berakhir yang mana mata wang tempatan menyusut nilai sebanyak enam peratus pada 2022, Tengku Zafrul berkata beliau optimis ringgit akan kembali dan terus mengukuh pada 2023, didorong oleh unjuran pertumbuhan Malaysia bagi tahun itu.

“Saya berpendapat perkara utama di sini ialah apa yang akan berlaku kepada dolar AS. Dari sudut pandangan saya, saya rasa dolar (AS) sudah mencapai tahap yang selesa,” tambahnya.

Sumber: BH

Share.

Leave A Reply