PM Tegur GLC, Sektor Swasta Lebih Utamakan Bahasa Inggeris. | PETALING JAYA: Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, menegur agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta di negara ini kerana lebih mengutamakan bahasa Inggeris dalam majlis, mesyuarat, persidangan, projek dan produk mereka.

PM Tegur GLC, Sektor Swasta Lebih Utamakan Bahasa Inggeris.

Sehubungan itu, Ismail meminta supaya bahasa Melayu digunakan dalam program yang dianjurkan dengan meluas selepas ini.

Beliau berkata, adalah menjadi peranan kita sebagai rakyat Malaysia untuk memastikan bahasa Melayu terus berkembang.

“Ketika ini, sudah menjadi trend untuk tidak menggunakan bahasa Melayu dalam program swasta, malah GLC dan agensi kerajaan.

“Mesyuarat agensi dan GLC juga menggunakan bahasa Inggeris. Malah, penggunaan nama syarikat, projek perumahan dan jenama produk kini menjadi lumrah dengan tidak juga menggunakan bahasa Melayu,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Ismail berkata, tiada siapa yang boleh mengangkat martabat Bahasa Melayu melainkan rakyat negara ini sendiri.

“Saya berharap setiap persidangan, mesyuarat dan lain-lain mesti menggunakan Bahasa Melayu selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2021, di Dewan Sultan Iskandar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini.

PABM 2021 mengumpulkan 78 peserta dari 36 negara melalui tiga kategori dipertandingkan iaitu Pelajar Antarabangsa, Alam Melayu dan Pelajar Antarabangsa yang telah menetap di Malaysia.

Dalam pada itu, Ismail berkata, kerajaan juga komited untuk memastikan dasar yang digubal menyokong usaha pemartabatan bahasa Melayu.

“Kita mahu mengulangi sejarah kegemilangan bahasa Melayu, dengan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengungkap ilmu dan bahasa antarabangsa abad ke-21.

“Untuk itu, kerajaan sangat menggalakkan pelaksanaan program dan aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan yang dapat menyemarakkan lagi roh kecintaan terhadap bahasa Melayu,” katanya.

Beliau berkata, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67(Akta 32) turut menyatakan bahawa bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud urusan rasmi.

“Dalam konteks sektor awam secara keseluruhannya pula,pemerkasaan penggunaan bahasa kebangsaan dalam perkhidmatan awam digariskan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2020 oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” katanya.

Perdana Menteri berkata, pada masa ini terdapat lebih 6,000 bahasa yang masih diguna pakai, akan tetapi hanya 20 bahasa sahaja yang dikategori dan diberi taraf bahasa rasmi.

Katanya, dalam konteks ini, kita wajar berasa bangga kerana bahasa Melayu adalah salah satu daripada 20 bahasa itu, dan menduduki tangga ke-10 bahasa paling popular penggunaannya di dunia.

“Sebagai Keluarga Malaysia dan empunya bahasa ibunda ini, kita harus berasa bangga kerana di celah-celah ruang penguasaan teguh bahasa Inggeris, bahasa Melayu tetap ampuh mencorak ritma yang tersendiri dan sentiasa mekar di persada tamadun dunia,” katanya.

Sumber: FMT

Share.

Leave A Reply