Polis sedang mengesan penunggang motosikal yang merempuh sebuah kereta dipandu warga emas di sebuah persimpangan di Batu 6, di Jalan Gombak Lama, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, kejadian pukul 2 petang itu berlaku semasa kereta dipandu lelaki berusia 87 tahun berkenaan keluar dari simpang menghala ke Gombak, dari Kampung Kerdas.
Katanya, setibanya di lokasi kejadian, kereta berkenaan hendak keluar dari simpang sebelum tiba-tiba dirempuh sebuah motosikal yang datang dari arah kanan.
“Kereta berkenaan kemudian terbabas ke kiri jalan akibat rempuhan itu, manakala penunggang motosikal terbabit tercampak ke atas jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Zainal, warga emas terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan, namun penunggang motosikal berkenaan masih gagal dikesan.
“Kes itu disiasat mengikut Peraturan 3(2)(B) LN166/5943(1) dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan berkenaan diminta tampil ke balai berdekatan.
“Saksi kejadian juga boleh menghubungi terus Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Azamil di 0196004104 atau 0361262222 untuk tindakan lanjut,” katanya.
Terdahulu, tular klip video berdurasi 50 saat dimuat naik di Facebook yang memaparkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari premis terletak di tepi jalan, semalam.
Video itu memaparkan kereta berwarna biru dipandu warga emas terbabit keluar dari simpang sebelum dirempuh sebuah motosikal menyebabkan penunggangnya terpelanting ke hadapan.
Sumber : Kosmo
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Warga Emas M4ut, Motosikal Bergesel Dgn Kereta Cuba Elak Langgar Babi
JEMPOL – Seorang peneroka Felda maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di kilometer 11 Jalan Bahau-Rompin pada Ahad.
Ketua Polis daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kejadian lebih kurang jam 10 malam itu membabitkan sebuah motosikal berkuasa tinggi ditunggang lelaki berusia 61 merupakan peneroka Felda Serting Hilir dengan sebuah kereta dipandu lelaki berusia 22 tahun.
“Berdasarkan siasatan awal, kereta berkenaan dalam perjalanan pulang dari arah Bahau ke Batu Pahat, Johor manakala mangsa dari arah Rompin hendak ke Bahau.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian pemandu kereta terbabit dipercayai cuba mengelak seekor babi yang tiba-tiba melintas menyebabkan kenderaannya masuk sedikit ke laluan bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Mengulas lanjut, Chang Hook berkata, pada masa sama, datang sebuah motosikal yang ditunggang mangsa dari arah bertentangan lalu bergesel dan melanggar sisi kanan kereta sehingga menyebabkan mangsa jatuh dan terseret ke bahu jalan.
“Akibat pelanggaran tersebut, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan telah dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah untuk rawatan lanjut manakala pemandu kereta yang merupakan tukang masak tidak mengalami kecederaan.
“Bagaimanapun mangsa disahkan meninggalkan dunia pada jam 3.15 pagi Isnin akibat pelbagai kecederaan susulan kemalangan. Siasatan kes masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Sumber : KMN