Polis Dedahkan Sesuatu Tentang Ibu Arwah Adik Amir.

| January 30, 2021 | 0 Comments

Polis Dedahkan Sesuatu Tentang Ibu Arwah Adik Amir. | MELAKA: Ibu kandung kepada kanak-kanak yang maut selepas dipercayai didera dalam kejadian di Taman Krubong Jaya, di sini, pada Jumaat pernah mendapatkan rawatan pakar psikiatri.

Arwah Adik Amir

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata suspek berusia 32 tahun itu bagaimanapun hanya mendapatkan rawatan biasa dan bukan disahkan sebagai pesakit mental.

“Ya suspek pernah mendapatkan rawatan, tetapi sudah lama iaitu pada tahun 2019 lalu.

“Rawatan itu diterima di Hospital Melaka dan hanya rawatan biasa yang mana wanita itu tidaklah (mental) seperti didakwa,” katanya.

Terdahulu Astro AWANI melaporkan pasangan suami isteri direman tujuh hari selepas dipercayai mendera kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun hingga meninggal dunia dalam kejadian di Taman Krubong Jaya petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang Jumaat itu, pihak polis menerima panggilan daripada bapa tiri mangsa berusia 38 tahun yang anaknya lemas dalam tong air setinggi 60.9 sentimeter di rumah berkenaan.

Siasatan polis bagaimanapun mendapati hasil pemeriksaan fizikal terhadap mayat mangsa menemui kesan lebam dan kecederaan di beberapa anggota badan.

Mayat kanak-kanak itu kemudian dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Mengulas lanjut, Mohd Sukri menggesa masyarakat untuk menghentikan segala bentuk spekulasi yang boleh mengelirukan masyarakat selain mengganggu siasatan pihak berkuasa.

“Masyarakat sepatutnya menilai sesuatu kes jenayah menurut kaca mata keadilan sebenar dan bukannya membuat andaian dan spekulasi yang mencacatkan sistem keadilan jenayah dan seterusnya mendatangkan fitnah kepada sistem pentadbiran keadilan jenayah.

“Serah sahaja kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dan polis akan memastikan siasatan tersebut dijalankan mengikut undang-undang serta kuasa-kuasa yang diberikan dengan telus, adil dan amanah,” tegasnya.

Sebelum ini, kisah kanak-kanak itu pernah tular pada Oktober tahun lalu apabila keluarga angkatnya yang menjaganya sejak bayi terpaksa menyerahkan semula kanak-kanak malang itu kepada ibu kandungnya.

Kisah itu dikongsikan menerusi satu klip video di laman Facebook yang menunjukkan ibu angkat dan keluarganya menangis teresak-esak ketika mendakap kanak-kanak lelaki yang mesra disapa sebagai “Adik” itu sebelum diserahkan kepada ibu kandungnya.

Sumber : Astro Awani

Tags: , , , , , , , ,

Category: INFORMASI, JENAYAH, KELUARGA, SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *