Polis Tahan 2 Lelaki Curi 87 Motosikal | Polis menahan dua orang lelaki yang terbabit melakukan 87 kes curi motosikal di Pulau Pinang dan Kedah, dalam dua serbuan, baru-baru ini.

Asisten Komisioner Tan Cheng San, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, berkata tangkapan itu dilakukan pasukan khas yang ditubuhkan, Op Lejang Waze pada Ogos lalu selepas menerima lebih 10 laporan polis berkaitan kes kecurian motosikal di kawasan parkir Stesen KTM Bukit Mertajam dan Bukit Tengah, di sini sejak Jun lalu.

Beliau berkata, berdasarkan hasil risikan dan intipan dijalankan, polis berjaya mengesan suspek pertama berusia 46 tahun di sebuah inap desa di Padang Besar, Perlis pada jam 6.25 petang 23 November lalu yang dipercayai sedang merancang untuk menyeludup motosikal dicuri ke negara jiran.

Katanya, susulan penahanan itu, polis menahan rakannya berusia 41 tahun di stesen bas di Butterworth, di sini, pada 26 November lalu dan siasatan mendapati suspek dipercayai mahu mencuri motosikal di kawasan berkenaan.

Beliau juga berkata, siasatan mendapati kedua-dua lelaki berasal dari Perlis itu datang ke Pulau Pinang dan mencuri hanya motosikal jenis Honda Waze Alpha yang diparkir di stesen KTM, pasar awam serta hospital di kawasan bahagian tanah besar negeri itu.

Beliau menjelas lagi bahawa mereka menggunakan ‘allen key’ yang diubah suai untuk mencuri motosikal dengan mudah sebelum kenderaan itu dibawa ke inap desa di Padang Besar, seterusnya diseludup ke negara jiran dengan menjual kepada orang tengah pada harga RM1,000 bagi setiap motosikal.

Modus operandi geng itu menukar nombor plat motosikal dicuri dengan nombor pendaftaran negara jiran untuk dibawa ke sana dan kebanyakannya digunakan di ladang dan setakat ini polis mengenal pasti orang tengah di negara jiran berkenaan.

Beliau menyatakan bahawa setiap kali geng itu mahu menyeludup motosikal curi ke negara jiran, mereka akan menggunakan nombor plat sama saja iaitu yang sah kerana mempunyai dokumen betul untuk dibawa ke sana dan juga bagi mengelak jenayah dikesan pihak berkuasa di sempadan.

Cheng San berkata, berdasarkan siasatan, dua lelaki itu terbabit dalam 30 kes curi motosikal di sekitar Pulau Pinang dan 57 kes di Kedah, malah dipercayai aktif menjalankan kegiatan itu sejak tahun lalu sehingga mampu mengaut keuntungan ribuan ringgit setiap bulan.

Katanya, polis turut merampas dua motosikal curi, peralatan mencuri, pakaian dan beberapa dokumen digunakan untuk ke negara jiran.

Katanya, suspek pertama mempunyai 31 rekod lampau dan rakannya dengan sembilan rekod berkaitan jenayah serta dadah. Kedua-dua mereka direman sehingga Ahad ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Sumber: Berita Harian

 

Artikel Lain

Polis Tahan Seorang Individu, Jual Air Ketum Di Facebook

Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Putrajaya, telah berjaya menahan seorang individu yang disyaki mengedar air ketum di sekitar daerah Putrajaya.

Polis Tahan Seorang Individu, Jual Air Ketum Di Facebook

Suspek menjalankan aktiviti jualan air ketum dengan mengiklankan di laman sosial “Facebook” dan menghantar terus kepada pembeli. Hasil dari risikan oleh BSJN IPD Putrajaya, suspek telah berjaya ditahan di Presint 9 Putrajaya, serta merampas 10 bungkusan plastik lutsinar berisi cecair air ketum.

Suspek telah ditahan reman selama (4) hari untuk siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 30(5) akta yang sama. Jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM 10 ribu atau dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih daripada 4 tahun atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak melakukan kesalahan dengan menjual, membeli serta meminum air ketum. Jika terdapat sebarang maklumat, sila salurkan ke IPD Putrajaya di talian : 0388862145.

Sumber : Inforoadblock

Share.

Leave A Reply