Polis Tangkap Pencuri Pakaian Dan Rampas Ribuan Pakaian Berjumlah RM200k.

| September 9, 2020 | 0 Comments

Polis Tangkap Pencuri Pakaian Dan Rampas Ribuan Pakaian Berjumlah RM200k. |Lapan pencuri ‘profesional’ yang mendalangi kegiatan mencuri pakaian berjenama di beberapa pasar raya sekitar Lembah Klang membabitkan kerugian lebih RM200,000 dicekup dalam dua siri tangkapan, awal bulan lalu.

pencuri

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, kesemua suspek termasuk pasangan suami isteri berusia lingkungan 30-an dan 40-an itu ditahan dalam dua serbuan berasingan di Klang dan Petaling Jaya, dekat sini, pada 10 Ogos lalu.

Menurut beliau, kumpulan ini adalah serpihan ‘Geng Susu Kangkang’ yang dahulunya aktif mencuri susu tepung di pasar raya dan kedai runcit sebelum menukar modus operandi dengan menjalankan kegiatan mencuri pakaian.

“Siasatan dan risikan ke atas kumpulan itu dijalankan susulan satu laporan polis yang diterima berkaitan kes kecurian pakaian di sebuah butik barangan bayi di AEON Mall, Puchong pada 20 Julai lalu.

“Menerusi risikan selama tiga minggu yang dilakukan, kita dapati suspek bergerak secara berkumpulan antara lima hingga enam orang untuk mencuri pakaian di pasar raya atau butik pakaian dalam pusat beli-belah di sekitar Lembah Klang.

“Dalam tempoh sehari, mereka akan mengunjungi sekurang-kurangnya lima pusat beli-belah di sekitar Lembah Klang untuk mencuri pakaian,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ismadi berkata, kumpulan yang digelar Geng Bonda ini didapati menggunakan pelbagai taktik dan helah termasuk mengalih perhatian pengawal keselamatan selain mampu membawa keluar pakaian dicuri tanpa dikesan sistem pengesan yang diletakkan di pintu masuk dan keluar butik pakaian.

“Mereka akan sorokkan pakaian yang dicuri di dalam pakaian yang mereka pakai, beg, troli termasuk troli bayi dan sebagainya dan semua pakaian itu disimpan di sebuah kediaman di Klang.

“Pakaian curi itu akan dijual kepada seorang ejen dengan harga antara RM10 hingga RM15 sehelai dan ejen itu akan mengagihkan barang curi itu kepada beberapa penjual sebelum dijual atau dilelong melalui Facebook dengan harga lebih rendah daripada harga pasaran,” jelas beliau.

Beliau berkata, kesemua suspek terdiri daripada warga Indonesia dan warga tempatan berasal dari Sabah itu kini masih ditahan dan usaha mengesan saki baki ahli kumpulan itu masih dijalankan.

Katanya, semakan mendapati empat daripada lapan suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

Selain tangkapan, katanya, polis yang menjalankan siasatan dengan bantuan pihak keselamatan pusat beli-belah yang menjadi ‘mangsa’ geng ini turut merampas ribuan helai pakaian dianggarkan bernilai RM200,000.

“Menerusi tangkapan itu, polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurang 30 kes curi pakaian yang dilaporkan sejak tahun lalu.

“Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sumber : Mymetro

Tags: , , , , ,

Category: INFORMASI, JENAYAH, KELUARGA, PELIK

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *