Polis Tumpaskan Sindiket Seludup Ekstasi Ke Negara Jiran | Sindiket penyeludupan dadah sememangnya bukan perkara asing dalam kalangan rakyat di negara ini. Hal ini kerana terdapat pelbagai kes yang melibatkan sindiket dadah yang telah berjaya ditumpaskan oleh pihak polis. Pihak yang tidak bertanggungjawab ini sentiasa mempunyai helah untuk melepaskan diri dari ditangkap polis.
Johor Bahru: Polis Johor berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dadah ke negara jiran dengan penahanan tiga lelaki dan merampas ekstasi bernilai RM856,800 dalam operasi khas di Kota Tinggi pada Ahad lalu.
Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin berkata, seorang lelaki tempatan dan dua lelaki Indonesia bertaraf penduduk tetap (PR) berusia 24 hingga 60 tahun ditahan dalam operasi pada jam 11 pagi yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kota Tinggi.
Katanya, kedua-dua lelaki PR itu merupakan transporter yang dibayar upah untuk menghantar dadah kepada lelaki tempatan terbabit di sebuah rumah tumpangan di Sungai Rengit, Pangerang.
Jelasnya, modus operandi kegiatan pengedaran dadah ini adalah dengan menjadikan rumah tumpangan itu sebagai transit sebelum dadah itu diseludup dan dihantar ke negara jiran melalui jalan laut.
Sindiket ini dipercayai telah beroperasi sejak dari Februari lalu dengan bekalan dari negeri ini sebelum dihantar ke negara jiran dan pihaknya percaya sebahagian kecil dari bekalan terbabit akan dipasarkan untuk pasaran tempatan.
Beliau berkata, pihaknya telah menjalankan risikan sejak beberapa bulan yang lalu dan usaha untuk memburu dalang dan saki baki kumpulan ini sedang giat dijalankan.
Melalui penangkapan sindiket ini, pihak polis berjaya merampas 47,600 biji pil ekstasi yang bernilai RM856,800.
Tambahnya, pihaknya turut menyita sebuah kereta jenis Hilux bernilai RM40,000 dan wang tunai berjumlah RM1,300.
Kesemua suspek telah direman selama lima hari bermula 28 Jun hingga 2 Julai untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup yang mana boleh juga dikenakan sebatan.
Sumber: Sinar Harian