“Potong Gaji Menteri Selesai Inflasi?” – Annuar Musa | Sudah menjadi kelaziman buat ahli politik Malaysia akan mencadangkan gaji menteri dan timbalan menteri dipotong apabila ada sesuatu isu.

Tidak terkecuali sekarang ini ketika mana negara berhadapan peningkatan inflasi yang juga masalah kepada kira-kira 200 negara lain di seluruh dunia.

Hakikatnya semua tahu, pemotongan gaji Kabinet tidak menyelesaikan masalah, kecuali suatu gimik yang tak ke mana.

Sebaliknya yang dimahukan rakyat ialah Menteri-menteri bekerja keras menyelesaikan masalah rakyat termasuklah dalam bab menangani inflasi.

Sebab itu, apabila diajukan soalan ini kepada Tan Sri Annuar Musa pada sidang media di Parlimen petang ini, beliau bertanya kembali kepada wartawan berkenaan.

“Boleh namakan saya satu negara yang berjaya menurunkan inflasi dengan melaksanakan pemotongan gaji menteri?”

Belum sempat dijawab, Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi itu memberi soalan susulan.

“Jika dipotong gaji sekali pun, katakanlah RM10,000 setiap menteri. Darab 36. Berapa banyak wang yang ada jimat? Boleh anda jamin yang inflasi dapat diselesaikan, harga barang tak naik?” katanya.

Menyimpulkan responsnya kepada soalan tersebut, Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata:

“Come on. Jangan main politik,” tegas Annuar dalam senyuman.

Ayuh satu hati, satu tujuan berjihad tangani inflasi

Terdahulu, Annuar mengeaskan yang kerajaan akan berusaha memastikan harga barangan keperluan di Malaysia kekal rendah di rantau ini.

Katanya, ini akan dilakukan dengan meneruskan pemberian subsidi kepada barangan dan perkhidmatan yang dikenal pasti melibatkan RM77 bilion tahun ini.

“Kita tidak mahu rakyat menerima kesan buruk daripada inflasi yang menjadi masalah global ketika ini,” tegasnya.

Dalam sidang media itu juga beliau membangkitkan bagaimana tarif elektrik negara kekal di sebalik peningkatan harga arang batu dunia.

“Kita import arang batu dari Indonesia tetapi republik itu sendiri menaikkan tarif. Namun di Malaysia, tarif kekal dengan penyaluran subsidi lebih RM5 bilion,” katanya yang turut membandingkan harga sekilo minyak masak di Indonesia.

Kata Annuar, harga minyak masak di Indonesia yang merupakan pengeluar sawit terbesar mencecah hampir RM6 sekilo sedangkan di Malaysia hanya RM2.50 sekilo.

“Realiti-realiti ini tidak boleh dinafikan. Ini faktanya.

“Soal orang politik nak ambil kesempatan mencari laba politik sebab harga barang naik akibat inflasi, itu pendirian masing-masing.

“Tetapi di pihak kerajaan, kita akan menguruskan isu ini, memberi subsidi barangan keperluan bagi kepentingan rakyat dan memastikan ia berada kadar terendah,” tegasnya.

SUMBER : Utusan TV

Share.

Leave A Reply